London: Final lelaki Wimbledon malam ini bukan sekadar pertarungan merebut trofi Grand Slam, ia adalah pentas untuk menyempurnakan peralihan kuasa dalam dunia tenis lelaki.
Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner kembali berentap, kali kedua berturut-turut dalam aksi final Grand Slam, namun kali ini di gelanggang rumput paling berprestij, Centre Court Wimbledon.
Bagi Alcaraz, ia peluang mencipta sejarah sebagai pemain kelima dalam era Terbuka yang memenangi Wimbledon tiga tahun berturut-turut, menyertai legenda seperti Bjorn Borg, Pete Sampras, Roger Federer dan Novak Djokovic.
Bagi Sinner pula, ia misi peribadi untuk menebus kekalahan menyakitkan di final Terbuka Perancis bulan lalu, apabila Alcaraz bangkit dari ketinggalan dua set untuk menewaskannya dalam final Grand Slam paling panjang dalam sejarah Roland Garros.
“Saya tahu dia pilihan utama. Dia dah menang dua kali berturut-turut di sini. Tapi saya suka cabaran macam ini,” kata Sinner yang menewaskan Djokovic di separuh akhir untuk layak ke final Wimbledon pertamanya.
Antara tahun 2003 hingga 2023, sukan tenis dikuasai tiga nama besar, Federer, Nadal dan Djokovic, yang mengumpul 66 gelaran Grand Slam.
Namun kini, era baharu sudah bermula dengan persaingan Alcaraz-Sinner semakin menyerlah.
Enam gelaran Grand Slam terakhir dikongsi antara dua pemain muda ini.
Rekod pertemuan kini memihak Alcaraz, 8-4, termasuk empat kemenangan terakhir, tetapi Sinner pernah menewaskannya di Wimbledon pada 2022.
“Kalau perlu bertarung lima jam setengah lagi macam di Paris, saya akan buat,” kata Alcaraz, 22, yang kini dalam rekod 24 kemenangan berturut-turut.
Alcaraz dilihat memiliki pakej lengkap, menang Grand Slam di semua permukaan.
Sinner pula lebih selesa di gelanggang keras, dengan tiga gelaran diraih di Melbourne dan New York.
Namun prestasinya di Wimbledon kali ini cukup meyakinkan.
Kemenangan ke atas Ben Shelton dan Djokovic mempamerkan kekuatan servis, pukulan ‘groundstroke’ tajam serta kemampuan menukar rentak dari bertahan ke menyerang dalam sekelip mata.
Sinner, 23, menjadi rakyat Itali ketiga mara ke final perseorangan Wimbledon selepas Matteo Berrettini (2021) dan Jasmine Paolini (2023), dan meskipun bermain dengan lengan berbalut akibat kecederaan siku, dia dilihat tidak terjejas.
“Saya dan pasukan kendalikan isu kecil ini dengan baik setakat ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd