'Persiapan hadir konvokesyen esok berakhir' – Penuntut UniMAP terkandas banjir di Hatyai

'Persiapan hadir konvokesyen esok berakhir' – Penuntut  UniMAP terkandas banjir di Hatyai

am@hmetro.com.my

Arau: “Persiapan saya untuk ke konvokesyen esok kira sudah berakhir dan saya reda dengan keadaan ini, apa boleh buat di setiap tempat di sini semua dinaiki air.”

Begitulah luahan Haniswati Rahmat, 25, penuntut jurusan Media Baru dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang sepatutnya menghadiri Istiadat Konvokesyen Ke-20 UniMAP esok namun terkandas akibat bencana banjir yang melanda Hatyai, Thailand ketika ini.

Menurut Haniswati, dia bersama keluarganya sebenarnya dalam perjalanan untuk keluar dari Thailand setelah mengharungi jelajah percutian dari Kluang hingga ke Bangkok sejak 18 November lalu.

“Saya bersama keluarga saya sebenarnya hendak pulang semula ke Malaysia untuk menghadiri konvokesyen saya di UniMAP setelah mengharungi jelajah percutian dengan memandu kereta dari Kluang ke Bangkok dari 18 November lalu,

“Jadi apabila melalui kawasan Prachuap, saya dapat hujan masih berlaku dan berterusan sehinggalah saya tiba di Hatyai dan menginap sementara di sebuah hotel berhampiran Prince of Songkhla University awal pagi ini kerana hendak menantikan pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka.

“Namun, apa yang mengejutkan hujan yang berlaku menyebabkan banjir dan air di sekitar kawasan hotel tempat kami menginap juga cepat naik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mujurlah kawasan hotel tempatnya menginap itu agak tinggi sikit namun mereka tetap terperangkap untuk keluar dari kawasan Hatyai.

“Sudah puas kami pusing setiap ceruk, setiap lorong yang boleh bawa kami pergi ke mendekati sempadan Malaysia-Thailand tetapi semuanya sudah ditenggelami air.

“Memang saya sedihlah tidak dapat pergi hadiri konvokesyen saya tetapi apa yang boleh saya buat, saya harap adalah pihak yang boleh membawa kami keluar dari sini,” katanya.

Sementara itu, UniMAP mengesahkan terdapat beberapa penuntut kampus itu terkandas akibat bencana banjir di Hatyai, Thailand.

Malah, difahamkan ada penuntut yang terkandas itu dijangka akan menghadiri sesi ketiga Istiadat Konvokesyen ke-20 UniMAP yang akan dijalankan esok pagi.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, UniMAP mengambil maklum dan cakna terhadap penuntut kampus itu yang didapati terkandas dalam bencana banjir di Hatyai.

“UniMAP sentiasa menghubungi penuntut kita yang terkandas di Hatyai kerana banjir pada waktu ini dan dalam masa yang sama juga, kita menasihatkan agar mereka juga turut menghubungi Konsulat Malaysia di Songkhla sekiranya mempunyai sebarang masalah.

“Buat masa ini, kita memantau rapat perkembangan situasi banjir yang berlaku di sana serta keselamatan penuntut kita dan Insyaallah UniMAP akan membantu bagi memudahkan urusan graduan terbabit untuk dibawa pulang ke kampus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top