Persiapan Kelantan jadi tuan rumah Sukma 2028 lancar, tiada projek sakit dikesan

Persiapan Kelantan jadi tuan rumah Sukma 2028 lancar, tiada projek sakit dikesan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Persiapan Kelantan untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada 2028 berjalan lancar dan tiada projek sakit dikesan setakat ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, sehingga kini perkembangan beberapa fasiliti yang sedang dibuat ada yang mencecah 25 peratus dan pihaknya yakin semua kelengkapan itu dapat disiapkan sebelum 2028.

Beliau berkata, jika ada berlaku kesulitan sekalipun, ia disebabkan faktor cuaca dan satu-satu projek itu dimulakan pada waktu berbeza menyebabkan tempoh siap juga mungkin tidak selari.

“Memang dari semasa ke semasa kita adakan lawatan untuk memantau perkembangannya sebab kita berlumba dengan masa.

“Kena pastikan semua fasiliti yang kita letak komitmen terutama kompleks sukan di Pasir Puteh dan Kota Bharu semua boleh siap sebelum 2028.

“Penting untuk digunakan ketika Sukma 2028 akan datang dan Alhamdulillah setakat ini tiada projek sakit, semua berjalan lancar,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat Kelantan 2024.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Adam Adli berkata, penyediaan fasiliti itu adalah usaha Kerajaan Madani melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memperuntukkan sehingga RM297 juta bagi tujuan pembinaan kemudahan sukan bagi memastikan penganjuran Sukma 2028 berjalan lancar dan hebat.

Menurutnya, menjelang tempoh itu, Kelantan bakal memiliki stadium dan kompleks sukan di Bukit Merbau, Pasir Puteh malah kompleks sukan ini bakal dilengkapi dengan arena tertutup, stadium hoki, pusat skuasy, gelanggang lawn bowl, lapang sasar menembak dan pusat akuatik.

“Ini adalah usaha kecil Kerajaan Madani untuk membolehkan rakyat Kelantan menikmati kemudahan sukan berkualiti tinggi dan seterusnya mampu menjentik semangat menghasilkan lebih ramai bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top