ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengurus Prestasi Tinggi Program Berbasikal Trek, Izham Mohamad mengakui mereka sudah melakukan persiapan untuk meraih keputusan cemerlang di Sukan Olimpik Paris 2024, sebaik sahaja temasya di Tokyo 2020 berakhir.
Menurutnya, sebaik sahaja skuad berbasikal trek negara menyelesaikan tugas dengan Datuk Azizulhasni Awang berjaya meraih perak dalam acara keirin, mereka menjalankan rutin seperti biasa iaitu mengumpul segala maklumat yang ada.
“Sebaik Olimpik Tokyo, kami mengenal pasti apa yang betul dan salah dilakukan sepanjang temasya berkenaan serta membawa setiap perkara ke depan. Kami sedar kali ini bakal berdepan cabaran kerana kitaran Olimpik akan pendek (penangguhan Tokyo 2020 akibat pendemik),” katanya dalam temuramah khas bersama Institut Sukan Negara (ISN).
Ujar Izham, mereka tidak ada masa untuk menunggu dan perlu melakukan persiapan Paris 2024 secepat mungkin ketika itu dengan mereviu semula perancangan Tokyo 2020.
“Kami hadir dengan perancangan baharu untuk Paris 2020 dengan memahami bahawa perlu membuat pelaburan demi penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Perubahan kali ini berlandaskan kepada tiga bahagian bermula dengan aspek fizikal pelumba, mempertingkatkan budaya atlet yang berkait dengan latihan serta pertandingan dan ketiga ialah menaik taraf teknologi (basikal) di mana kami berjumpa dengan pakar di seluruh negara,” katanya.
Tambah Izham, skuad berbasikal trek sangat beruntung kerana dapat bertemu dengan individu tepat dalam menumpukan kepada ketiga-tiga faktor berkenaan.
“Kami duduk bersama mengenal pasti apa yang perlu dilakukan dalam tempoh yang semakin suntuk. Pada awal 2024 kami mengenal pasti segala perubahan yang perlu mengikut peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Sehingga sekarang kami sudah melengkapkan proses akhir dan bersedia untuk mendaftarkan diri serta beraksi di Olimpik,” katanya.
Saingan pecut individu lelaki pusingan awal akan berlangsung pada 7 Ogos, manakala dua hari selepas itu membabitkan peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.
Bagi acara keirin pula ia akan diadakan selama dua hari membabitkan pusingan awal (10 ogos) dan suku akhir, separuh akhir dan akhir (11 Ogos).
Pecut individu wanita akan berlangsung 9 hingga 11 Ogos, manakala keirin pula 7 hingga 8 Ogos dengan kesemua perlumbaan membabitkan Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom dan Izzah di Velodrome Nasional Saint Quentin en Yvelines.
© New Straits Times Press (M) Bhd




