London: Jaguh golf Ireland, Shane Lowry yakin keputusan untuk berehat daripada kejohanan kompetitif minggu lalu menjadi persiapan terbaik buatnya menjelang saingan Terbuka British yang dijadualkan berlangsung di Royal Portrush, minggu ini.
Lowry, 38, memilih untuk tidak menyertai Terbuka Scottish, sebaliknya mengambil peluang menikmati waktu santai dengan bermain di beberapa padang golf terbaik di Ireland termasuk Portmarnock, The Island, Baltray, Waterville, Old Head dan Adare Manor.
“Saya tak balik Ireland sejak Krismas lalu, jadi minggu-minggu ini cukup menyegarkan. Saya rasa lebih segar dan bersedia sepenuhnya.
“Sebelum Terbuka AS, saya terlalu banyak bermain iaitu sembilan kejohanan dalam 11 minggu dan ia sangat memberi kesan kepada saya. Itu salah saya sendiri. Tapi kini selepas beberapa minggu berehat, saya rasa saya kembali bersedia,” katanya.
Lowry yang masih memburu kejuaraan utama kedua dalam kariernya, turut mengakui dia perlu berhati-hati agar tidak terlalu selesa dengan prestasi semasa.
“Saya bermain dengan baik dua hari lalu dan ianya bukan petanda baik.
“Kadang-kadang apabila semuanya berjalan lancar, saya jadi terlalu selesa, dan tiba-tiba tiga over selepas lima lubang, terus panik.
“Waktu saya main tak berapa baik, biasanya itulah masa saya bermain paling bagus. Mungkin saya kena main teruk dua tiga hari dan semuanya akan jadi baik,” kata juara The Open 2019.
© New Straits Times Press (M) Bhd