Persiaran Mokhtar Dahari akan dinaiktaraf kepada empat lorong

Persiaran Mokhtar Dahari akan dinaiktaraf kepada empat lorong

SHAH ALAM: Persiaran Mokhtar Dahari akan dinaiktaraf kepada empat lorong di sepanjang laluannya menerusi cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri ini dalam Rancangan Selangor Ke-2 (RSK2).

JKR Selangor dalam kenyataannya berkata, pihaknya turut menetapkan syarat pemajuan pembangunan kepada dua pemaju bagi projek di laluan berkenaan termasuk pembinaan satu lorong tambahan di Persimpangan Alam Budiman dan Persimpangan Greenhill Residence.

Katanya, penyelesaian jangka sederhana juga sedang dilaksanakan termasuk cadangan penambahan satu lorong dengan anggaran 300 meter dari arah Puncak Alam ke Shah Alam bagi mengurangkan kesesakan di Persimpangan Alam Budiman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“JKR Selangor sedang melaksanakan kerja awalan, sementara kerja fizikal dijangka selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan.

“JKR Selangor mengambil serius isu keselamatan di Persiaran Mokhtar Dahari dan mengambil beberapa tindakan jangka pendek bagi meningkatkan aspek keselamatan dengan peningkatan pembangunan serta penambahan trafik di sepanjang laluan itu,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, penduduk di Bandar Puncak Alam, Taman Alam Budiman, Green Hill Residence dan Taman Puncak Perdana di Persiaran Mokhtar Dahari di sini mendesak supaya tindakan segera diambil terhadap tahap keselamatan laluan utama itu.

Desakan tersebut dinyatakan menerusi perhimpunan aman dihadiri kira-kira 100 penduduk selama 30 minit pada petang semalam sambil mengusung replika keranda serta membina replika kubur di tepi jalan sebagai simbolik kemalangan maut yang kerap terjadi di jalan berkenaan.

JKR dalam kenyataan sama menjelaskan sebanyak RM4.2 juta sebelum ini sudah pun dibelanjakan bagi tempoh 2023 bagi peningkatan aspek keselamatan termasuk penambahan perabot, pemasangan lampu jalan dan penambahbaikan laluan sedia ada.

“Keselamatan pengguna kekal menjadi keutamaan JKR. Tindakan akan terus dilaksanakan berdasarkan tahap risiko, keperluan teknikal, proses kelulusan serta ketersediaan peruntukan.

“Dalam masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah, memperlahankan kenderaan ketika menghampiri persimpangan serta mematuhi papan tanda dan had laju yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top