Jakarta: Rakyat Indonesia yang juga personaliti media sosial ditahan junta Myanmar selepas didakwa membantu membiayai kumpulan pemberontak di negara bergolak itu.
Perkara itu didedahkan Ahli Komisi I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Abraham Sridjaja yang mengesahkan, wanita berusia 33 tahun itu kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Myanmar walaupun tidak terbukti terbabit dalam sebarang aktiviti keganasan.
“Dia hanya seorang pencipta kandungan. Dia dituduh menyokong dana pemberontak Myanmar sedangkan dia tiada niat langsung ke arah itu.
“Dia masih muda dan tidak sepatutnya menjadi mangsa tuduhan berat,” katanya dalam sesi mesyuarat bersama Kementerian Luar Negeri (Kemlu) di Kompleks Parlimen, di sini, semalam.
Abraham berkata, beliau berbincang dengan Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia (WNI), Judha Nugraha, bagi merangka tindakan diplomatik untuk membawa pulang wanita berkenaan.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Sugiono, tidak mengulas secara khusus mengenai kes penahanan wanitaterbabit, namun menasihatkan rakyat Indonesia menilai risiko keselamatan sebelum mengunjungi negara yang tidak stabil seperti Myanmar.
“Seperti yang kita tahu, Myanmar sedang berdepan perang saudara.
“Berurusan dengan kerajaan junta belum tentu menyelesaikan masalah kerana masih ada banyak kawasan lain dengan keadaan keselamatan yang berbeza,” katanya menerusi portal Kompas.
Sugiono turut mengingatkan semua rakyat Indonesia yang berada di luar negara supaya mendaftar melalui portal Safe Travel dan Peduli WNI bagi memudahkan pemantauan serta bantuan, jika berlaku kecemasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd