lizamridzuan@hmetro.com.my
Hyundai Motor Company (HMC) kini melangkah lebih jauh dalam memperkukuh kehadirannya di rantau ASEAN dengan menubuhkan entiti baharu Hyundai Motor Malaysia (HMY).
Langkah strategik ini membuka lembaran baharu bagi operasi langsung jenama automotif Korea Selatan itu di pasaran Malaysia.
Dengan penubuhan HMY, syarikat itu akan menguruskan sepenuhnya aspek penjenamaan, pemasaran, jualan serta pengalaman pelanggan untuk semua model Hyundai di Malaysia.
Ini dijangka membolehkan tindak balas yang lebih pantas terhadap kehendak pasaran tempatan, selain mengeratkan lagi hubungan dengan pengguna di sini.
Presiden HMY, Eric Lee menjelaskan bahawa Malaysia kini dianggap sebagai salah satu hab utama bagi Hyundai di Asia Tenggara, selari dengan komitmen jangka panjang mereka dalam memacu pertumbuhan sektor automotif serantau.
“Ibu pejabat baharu kami akan bertempat di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX) dan kami menyasarkan pengambilan sekitar 100 kakitangan menjelang akhir tahun,” katanya dalam satu sesi pratonton model baharu kepada media.
Sebagai sebahagian daripada perancangan masa depan, Hyundai merancang memperkenalkan tiga model baharu dalam kategori SUV dan MPV menjelang suku ketiga 2025.
Malah, usaha ke arah perindustrian tempatan turut digerakkan melalui kerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd di Kedah dengan sasaran untuk memasang sehingga tujuh model baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Pengarah Urusan HMY, Jahabarnisa Haja Mohideen, Malaysia menawarkan potensi besar sebagai pasaran automotif berdasarkan kestabilan ekonomi dan permintaan yang kukuh untuk kenderaan penumpang di ASEAN.
“Peningkatan kuasa beli rakyat turut menjadi faktor penting yang meyakinkan Hyundai untuk melabur lebih dalam pasaran ini,” katanya.
Walaupun kini di bawah pengurusan baharu, Hyundai tidak menolak sumbangan Sime Darby Motors yang sudah menjadi tonggak utama dalam pengedaran jenama itu di Malaysia sejak 2004 dan akan terus memainkan peranan penting dalam aspek rangkaian jualan dan servis selepas jualan.
Dalam masa terdekat, Hyundai Motor Malaysia akan memfokus kepada penambahbaikan rangkaian pengedarnya serta melancarkan pelbagai ciri digital termasuk laman web baharu, aplikasi mudah alih dan saluran media sosial bagi meningkatkan interaksi dan pengalaman pemilikan pelanggan di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd