Pertahan turath ilmu Islam, elak pemikiran sesat

Pertahan turath ilmu Islam, elak pemikiran sesat

Selama lebih 1,400 tahun, syariat Islam berkembang dan terus berdiri teguh walaupun menghadapi cabaran dari pelbagai sudut di sepanjang lembaran sejarahnya.

Berdasarkan berbagai hadis akhir zaman, cabaran terhadap syariat Islam dijangka akan lebih bertambah hebat.

Antaranya, hadis daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW sabdanya: “Aku muncul di kalangan akhir umatku nanti kumpulan manusia yang akan memberitakan kepada kamu sekalian perkara yang tidak pernah kamu mahupun datuk moyang kamu dengari. Maka, berwaspadalah kamu sekalian terhadap mereka.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain dinyatakan: “Aku muncul di akhir zaman nanti para dajjal pendusta yang akan membawakan kepada kamu sekalian hadis atau khabar yang tidak pernah kamu mahupun datuk moyang kamu dengari. Maka, berwaspadalah kamu sekalian terhadap mereka agar mereka tidak dapat menyesatkan dan memesongkan kamu.” (Riwayat Muslim)

Melalui hadis ini, Nabi SAW memperingatkan supaya pemikiran songsang yang menyimpang daripada syariat Islam pegangan majoriti ulama Islam perlu ditolak dan disanggah supaya ia tidak merosakkan fahaman umat Islam.

Frasa ‘perkara yang tidak pernah kamu mahupun datuk moyang kamu dengari’ menunjukkan bahawa syariat Islam yang direkodkan dalam turath (warisan) ilmu Islam serta dipraktikkan oleh majoriti kaum Muslimin kini amat perlu sekali dijaga dan dipertahankan.

Khazanah turath ilmu Islam ini telah diwarisi dan dipelihara oleh ulama Ahlus Sunnah Waljamaah sejak zaman-berzaman.

Ia diturunkan dari satu generasi ke satu generasi secara bersambung menjadikan sanad turath ilmu Islam ini tidak pernah terputus sedikit pun pada mana-mana zaman.

Dalam era media sosial kini, apa yang dikhabarkan oleh Baginda SAW itu telah terbukti secara lebih jelas.

Ini kerana sesiapa sahaja boleh menjadi pempengaruh atau pencipta kandungan media sosial berbicara mengenai agama Islam.

Tanpa mengira sama ada dia berkeahlian ataupun tidak, bahkan sama ada dia Muslim ataupun bukan.

Jika masing-masing mengetahui had batasan, mungkin tidak begitu membimbangkan.

Apa yang menakutkan, ruang terbuka dan bebas di media sosial menyebabkan ada antara mereka yang mempunyai agenda tertentu menggunakan platform terbabit bagi menyebarkan pemikiran sesat mereka, baik yang datang dari dalam mahupun dari luar negara.

Ini kerana ada di antara mereka yang berbicara mengenai hal ketuhanan tanpa mempunyai asas akidah yang betul.

Ada yang membuat tafsiran terhadap nas wahyu dengan menggunakan akal semata-mata tanpa sebarang ilmu.

Ada yang secara bangga menolak kesyariatan hadis Nabi SAW. Ada yang mempertikaikan autoriti ulama dalam menetapkan sesuatu hukum.

Ada yang secara sesuka hati menyanggah ijmak ulama kerana tidak sesuai dengan akal dan hawa nafsu mereka.

Secara umum, masing-masing menggunakannya untuk mempromosikan kesesatan dan fahaman bidaah mereka kepada masyarakat umum.

Dakyah kristianisasi dengan modus operandi memburukkan imej Islam juga tidak kurang menggerunkan.

Bagi mengelirukan pemikiran umat Islam, kebanyakan mereka mendakwa bahawa pegangan tradisi yang lama sudah pun lapuk, kaku, tidak sesuai, ketinggalan atau sebagainya.

Dengan agenda tersebut, mereka mengeksploitasi pandangan yang mengkategorikan pihak yang berpegang dengan turath ilmu Islam sebagai aliran tradisional, dan yang berpegang dengan tafsiran baru pula sebagai aliran liberal, moderat atau modenis.

Barangkali mereka turut berselindung dengan slogan atau istilah yang ilmiah seperti ‘tajdid’, ‘islah’ dan ‘ijtihad’, tetapi mengandungi racun berbisa yang amat bahaya.

Padahal, aliran pemikiran mereka tidak bersambung sedikit pun dengan turath ilmu Islam yang muktabar dan muktamad.

Tiada satu sanad pun yang dapat mereka jadikan sandaran, bahkan tiada seorang imam Salaf pun yang dapat mereka jadikan rujukan.

Pernyataan Nabi SAW: “…perkara yang tidak pernah kamu mahupun datuk moyang kamu dengari”, jika diperhalusi hakikatnya mengangkat kedudukan sistem sanad yang menjadi ciri istimewa ilmu Islam.

Bukan sahaja dalam bidang hadis, bahkan dalam hampir semua disiplin pengajian Islam.

Aspek ini yang tidak difahami, justeru, diabaikan oleh kebanyakan aliran pemikiran songsang yang dinyatakan.

Namun begitu, hal ini tidak pernah mengekang mereka untuk terus mengelirukan masyarakat Islam.

Kerana itu, Nabi SAW memperingatkan umatnya: “…berwaspadalah kamu sekalian terhadap mereka”. Peringatan ini zahirnya ditujukan kepada kita yang hidup di akhir zaman.

Meskipun, kita mengharapkan turath ilmu Islam ini akan terus bertahan dan menjadi rujukan.

Namun, kita tidak pasti berapa lama lagi masa yang tinggal.

Pertarungan antara hak dan batil akan terus berlangsung sehingga dunia ini melabuhkan tirainya apabila tiba masa nanti.

Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top