Kansas City: Pengendali Colombia, Nestor Lorenzo memuji disiplin pertahanan pasukannya selepas kemenangan 1-0 ke atas Ghana yang memastikan mereka mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia, sambil menyifatkan keupayaan mempertahankan kelebihan tipis sebagai kunci kejayaan.
Lorenzo berkata benteng pertahanan Colombia memikul tugas sukar kerana pasukannya banyak bermain dengan garisan pertahanan tinggi sepanjang perlawanan.
“Selepas kami mencipta beberapa peluang tetapi gagal menyudahkannya, saya sangat gembira dengan cara kami bertahan.
“Saya menghargai hakikat bahawa kami tidak banyak berada dalam keadaan tertekan, kecuali beberapa peluang jelas yang dimiliki lawan,” kata Lorenzo.
Lorenzo turut mengesahkan kapten pasukan, James Rodriguez, tidak mengalami kecederaan selepas dikeluarkan pada babak kedua.
Beliau menjelaskan pertukaran itu dibuat atas faktor taktikal, sambil mendedahkan beberapa pemain Colombia berdepan simptom seperti selesema sebelum perlawanan.
“James berada dalam keadaan baik. Dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurut Lorenzo, hanya Jhon Cordoba mengakhiri perlawanan dengan kebimbangan mengenai kecederaan, namun tahap kecederaan penyerang itu hanya akan diketahui selepas menjalani pemeriksaan lanjut.
Colombia akan berdepan Switzerland pada aksi pusingan 16 terbaik di Vancouver, Selasa ini.
“Mereka sebuah pasukan yang tersusun dan memiliki pemain berkualiti terutama dari bahagian tengah hingga serangan.
“Mereka bermain dengan sangat baik. Ia pasti menjadi satu lagi perlawanan yang sangat sukar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




