Pertama kali berpuasa sebagai Muslim, Nur Arrisha teruja lalui rutin Ramadan

Pertama kali berpuasa sebagai Muslim, Nur Arrisha teruja lalui rutin Ramadan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Klang: Ramadan tahun ini membuka lembaran baru buat Nur Arrisha Preetina Prabakaran kerana pertama kali berpuasa selepas memeluk Islam pada 5 Jun tahun lalu

Nur Arrisha Preetina, 23, mengakui teruja kerana dapat berpuasa sebagai Muslim sekali gus melakukan amalan sunat iaitu serta bertarawih buat pertama kalinya.

Berkongsi pengalamannya, Nur Arrisha Preetina yang menetap di Bukit Kapar, dekat sini berkata, dia pernah cuba berpuasa sebelum memeluk Islam namun tidak sepenuhnya memahami tuntutan kewajipan rukun Islam keempat itu.

Bagaimanapun, Nur Arrisha Preetina berkata, dia tidak berseorangan kerana suami, Mohammad Ikram Hanafi, 27, banyak memberinya tunjuk ajar dan bimbingan terutama selepas mereka berkahwin pada 5 September tahun lalu.

“Dulu, saya ingat umat Islam berpuasa seharian kemudian bila sudah dewasa, baru tahu yang ada masa berbuka ketika masuk waktu solat Maghrib.

“Dua tahun lalu, saya pernah cuba berpuasa bermula dengan puasa air kemudian makanan.

“Saya nak cuba kerana nampak rakan Muslim berpuasa dan syukur kerana tahun ini Allah SWT pilih saya berpuasa sebagai Muslim,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nur Arrisha Preetina, setakat ini, dia dapat berpuasa penuh dan seronok kerana berpeluang menyediakan juadah terutama ketika bersahur dengan suami.

Katanya, jika ada kelapangan pula, dia akan mengerjakan tarawih di masjid atau pejabat jika bekerja.

“Suami pun suka makan di rumah jadi saya masak untuknya cuma dulu sebelum masuk Islam, saya tidur saja.

“Tapi rutin harian agak berubah kerana dulu tidur waktu pagi tapi sekarang kena bangun Subuh dan dirikan solat lima waktu.

“Tak susah pun nak sesuaikan diri kerana solat bukan sampai satu jam pun. Berkaitan agama seperti puasa, saya akan rujuk dengan suami atau ustaz ketika kelas fardu Ain,” katanya.

Berhubung perkongsiannya di Threads, Nur Arrisha Preetina berkata, dia sekadar berkongsi perasaan di samping ingin tahu pengalaman berpuasa individu lain.

“Alhamdulillah, ramai bagi kata semangat dan tiada komen berbaur perkauman.

“Saya pun bersyukur kerana dapat suami yang tak jemu membimbing saya.

“Diharap saya dapat belajar lagi solat dengan betul dan teruskan berpuasa juga buat tuntutan agama kerana mahu jadi mualaf yang lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top