Penyanyi dan pelakon, Amira Othman mengakui Ramadan kali ini cukup berbeza buat dirinya apabila pertama kali menyambut bulan penuh keberkatan itu sebagai seorang isteri.
Menurut Amira, perubahan status membuatkan persiapannya juga sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya.
Malah, dia berharap Ramadan kali ini membawa seribu satu kebaikan buat dirinya dan semua pihak.
“Okay, persiapan Ramadan tahun ni, of course lainlah kan sebab dah ada suami. So tahun ni, kita kena masak sahur dan sebagainya.
“Jadi saya harap saya dapat buat, yang penting pada saya adalah mudah-mudahan Allah bagi kesihatan yang baik sebab kita pun ada komitmen kerja kan? Dalam masa yang sama kita pun nak orang kata nak kan keberkatan Ramadan tu.
“So hopefully Ramadan kali ni memberi macam-macam keberkatan kepada kita semua,” katanya.

Amira berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media dan majlis pelancaran koleksi tudung jenama Qyraisya yang berlangsung di Ruang Rama, Petaling Jaya pada Selasa.
Mengulas mengenai jadual kerjanya sepanjang Ramadan, Amira memaklumkan, dia tetap perlu memenuhi komitmen yang telah ditetapkan sekali gus menepis dakwaan kononnya dia dan suami, Fattah Amin menerima tawaran secara ‘berpakej’.
“Untuk Ramadan sebenarnya kita banyak juga kerja yang yang harus dilakukan bersama Fattah. Saya tak boleh buat apalah sebab memang kerja harus dilaksanakan. Kita pun ada kontrak dan sebagainya.
“Jadi saya harap semua orang cakap benda yang baik-baik je lah kan. Untuk anda yang bercakap benda yang tak baik tu, saya tidak tahu di manakah benefitnya kan?,” jelasnya.
Tambahnya, adalah lebih baik untuk berdiam diri daripada berkata sesuatu yang tidak memberi manfaat.
“Klaau saya lah, lebih baik diam. Diam dari berkata perkara-perkara yang tidak perlu, tidak memberi manfaat. Nanti end up takut-takut ianya makan diri kita sendiri.
“Macam saya selalu pesan lah, jadilah orang baik sekalipun diperlakukan tidak baik… sebab tak ada apa pun kita nak buktikan kat manusia ni. So kita buat kerja kita je, dan kita pun tak ada buat jahat kat orang, mudah-mudahan Allah lindung kita daripada benda-benda yang tidak baik,” ujarnya.
Sekadar info, Amira telah dilantik sebagai duta jenama tudung Qyraisa sesuai dengan personalitinya yang sopan, elegan dan merendah diri selari dengan identiti jenama itu yang menitikberatkan kesederhanaan dan keanggunan.




