BARU-BARU ini, satu pertandingan memancing kolam terbuka menjadi tular dan bualan ramai apabila menyediakan hadiah utama berupa wang tunai RM1 juta.
Ramai yang teruja dengan tawaran hadiah tersebut namun ada yang mempersoalkan hukumnya dari sudut syarak memandangkan setiap peserta wajib membayar yuran penyertaan sebanyak RM220.
Wakil Penasihat Kewangan Islam (IFAR), Ustaz Mohd Hafidz Mohd Zawawi menjelaskan, orang ramai wajar mempersoalkan hukum di sebalik pertandingan memancing itu kerana jawapannya bukan sekadar ‘halal’ atau ‘haram’ yang ringkas.

USTAZ MOHD HAFIDZ
“Ia memerlukan kefahaman yang jelas tentang struktur pertandingan kerana di situlah letaknya perbezaan yang menentukan hukum.
“Dalam Fiqh Muamalat, isu utama dalam pertandingan berhadiah bukanlah aktiviti memancing itu sendiri. Apa yang menentukan hukumnya ialah sumber wang hadiah dan struktur pertandingan,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Tambahnya, dalam memahami situasi pertandingan, para fuqaha membahagikan kepada tiga bentuk utama iaitu:
1 – Hadiah daripada pihak ketiga
Jika hadiah datang sepenuhnya daripada penaja luar seperti syarikat, kerajaan atau individu yang tidak menyertai pertandingan, maka hukumnya harus.
Para peserta hanya menyertai aktiviti tanpa meletakkan apa-apa pertaruhan dalam bentuk kewangan.
2 – Hadiah daripada satu pihak sahaja
Jika individu atau penganjur menjanjikan hadiah dan peserta lain hanya menyertai tanpa membayar yuran pertandingan, maka hukumnya juga harus kerana tidak ada elemen pertukaran wang antara peserta.
3 – Hadiah daripada yuran terkumpul semua peserta
Apabila setiap peserta membayar yuran masuk dan jumlah yang dikumpulkan itu menjadi tabung hadiah untuk pemenang, struktur ini secara prinsipnya merupakan qimar (judi) dan inilah yang diharamkan syarak.
Ustaz Mohd Hafidz kemudiannya menjelaskan mengenai struktur pertandingan yang tular itu baru-baru ini iaitu mengenai jumlah kutipan yuran peserta yang mencecah RM3.3 juta.
“Soalan asas yang perlu kita renungkan dengan tenang, dari manakah datangnya RM1 juta sebagai hadiah utama itu?
“Tidak dinyatakan syarikat korporat yang mengeluarkan dana berjuta ringgit sebagai tajaan dan timbullah persoalan, adakah wang yang dikumpulkan daripada 15,000 pemancing itu diagihkan semula kepada segelintir pemenang?

YURAN terkumpul daripada peserta tidak boleh dijadikan hadiah untuk pertandingan. Foto Canva
“Inilah titik kritikal yang membezakan struktur ketiga iaitu qimar daripada dua struktur yang harus itu,” jelasnya.
Sambungnya, pertandingan sebegini bukanlah kes baharu yang belum dibahaskan sebelum ini kerana beberapa autoriti agama rasmi di dalam negara telah memberikan panduan yang jelas dan konsisten.
“Jabatan Mufti Negeri Sembilan pernah mengeluarkan pendapat ulama bahawa hukumnya harus memancing di kolam berbayar kerana menggunakan perkhidmatan yang disediakan.
“Namun begitu ia boleh menjadi haram sekiranya diadakan pertandingan yang menawarkan hadiah hasil kutipan daripada pemancing kerana ia dianggap perjudian (qimar),” ujarnya.
Jelasnya lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga menetapkan garis panduan yang jelas bahawa hadiah tidak boleh diambil daripada yuran penyertaan, caj atau seumpamanya.
Jalan keluar mengikut syarak
Ustaz Mohd Hafidz menasihatkan kepada penganjur agar memisahkan yuran dengan hadiah.
“Yuran masuk peserta hanya digunakan untuk menampung kos operasi sebenar sewa kolam, ikan, makanan, urusetia dan keuntungan munasabah.
“Penganjur juga boleh menyediakan hadiah yang ditaja sepenuhnya oleh pihak ketiga atau penganjur memastikan jumlah hadiah munasabah dengan struktur kewangan.
“Jika tiada penaja yang jelas, hadiah perlulah pada saiz yang munasabah dengan kos operasi sebenar, bukan diagihkan daripada yuran peserta,” jelasnya.
Tanya 3 soalan asas
Bagi pemancing Muslim pula, sebelum membayar yuran sebarang pertandingan, mereka perlu menjawab tiga soalan asas:
1 – Dari manakah datangnya wang hadiah?
2 – Adakah jumlah hadiah munasabah dengan kos operasi sebenar?
3 – Adakah yuran akan dikembalikan sebagai hadiah kepada peserta?

JANGAN cemari aktiviti yang diharuskan syarak seperti memancing dengan unsur perjudian.
“Jika jawapannya kabur atau jelas daripada yuran peserta, lebih baik pertandingan tersebut dijauhi,” nasihatnya.
Sebagai akhirnya, beliau mengingatkan umat Islam bahawa rezeki ALLAH SWT itu luas dan jalan-jalan halal untuk mencarinya tidak pernah tertutup.
“Pulangan yang kelihatan kecil tetapi berkat adalah lebih baik daripada jumlah besar yang meragukan sumbernya kerana itulah yang akan menjadi darah daging keluarga kita,” katanya.



