Pertarungan Paul, Davis dibatalkan

Pertarungan Paul, Davis dibatalkan

Miami: Pertarungan antara Jake Paul dan Gervonta Davis dibatalkan selepas juara dunia lightweight itu didakwa menyerang bekas pasangannya di sebuah kelab tarian di Miami.

Davis, 30, yang sepatutnya menentang Paul dalam aksi pertunjukan pada 14 November ini, kini berdepan tuduhan keganasan baharu.

Bekas pasangannya, Courtney Rossel, memfailkan saman terhadap Davis atas tuduhan menyerang dengan teruk, penahanan tanpa sebab, penculikan serta menyebabkan tekanan emosi secara sengaja.

Insiden itu didakwa berlaku di sebuah kelab tarian tempat Courtney bekerja sebagai pelayan koktel VIP.

Kes terbaharu itu menambah kepada deretan panjang isu undang-undang yang pernah membabitkan peninju berkenaan.

Hanya empat bulan lalu, Davis pernah ditahan atas tuduhan serangan yang kemudian digugurkan oleh bekas kekasih lain.

Sepanjang hujung minggu lalu, muncul laporan bahawa Jake Paul mula mencari lawan baharu, dan pada Isnin, syarikat promoternya, Most Valuable Promotions (MVP), mengesahkan bahawa mereka kini merancang pertarungan baharu untuk Paul yang dijangka berlangsung di Netflix sebelum akhir 2025.

“Kami bekerjasama rapat dengan semua pihak untuk menangani situasi ini secara bertanggungjawab,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MVP, Nakisa Bidarian dalam satu kenyataan.

“Walaupun acara ini tidak akan diteruskan, rancangan kami masih kekal. Jake Paul akan tampil dalam satu acara utama di Netflix pada 2025. Butiran mengenai tarikh baharu, lokasi, lawan serta perlawanan lain akan diumumkan sebaik semuanya dimuktamadkan,” kata kenyataan itu lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top