Pertembungan Ronaldo, Yamal di pentas akhir Liga Negara-Negara

Pertembungan Ronaldo, Yamal di pentas akhir Liga Negara-Negara

KOMUNITI bola sepak dunia bakal menjadi saksi pertembungan menarik di final Liga Negara-Negara apabila Lamine Yamal, remaja sensasi dari Sepanyol, akan bertemu dengan ikon Portugal, Cristiano Ronaldo.

Perlawanan di Allianz Arena, Munich ini bukan sekadar memburu trofi, tetapi juga menjadi pentas di mana bakat muda paling menyerlah akan berhadapan dengan kehebatan seorang legenda yang terus mencatat sejarah.

Kedua-dua bintang ini telah membuktikan ketajaman mereka dengan menjaringkan gol dalam kemenangan separuh akhir masing-masing.

Pertemuan ini menandakan kali pertama Yamal, permata Barcelona yang disebut-sebut sebagai calon pemenang Ballon d’Or musim ini, akan berdepan Ronaldo, pemenang anugerah itu sebanyak lima kali.

Ronaldo, yang kontraknya dengan kelab Arab Saudi, Al-Nassr tamat musim panas ini, kekal menjadi ancaman utama meskipun pada usia 40 tahun.

Menjelang perlawanan akhir, kedua-dua pemain telah ditanya tentang satu sama lain.

Ronaldo, dengan pengalaman lebih empat dekad di padang, memuji Yamal: “Anak muda ini telah melakukan perkara yang sangat baik di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan.

“ Ini suasana yang hebat untuk dia menunjukkan kualitinya. Biarkan dia berkembang, jangan beri dia tekanan agar kita dapat menikmati bakat seperti ini untuk bertahun-tahun.

“Saya ingin meringankan bebannya dan membiarkannya sendiri. Dia punya banyak bakat.”

Yamal, yang akan berusia 18 tahun pada 13 Julai ini pula menyatakan penghormatan mendalamnya terhadap Ronaldo.

“”Beliau adalah legenda bola sepak. Saya, seperti semua pemain, sangat menghormati Cristiano.

“Ini adalah jenis perlawanan yang saya mahu mainkan, untuk membuktikan siapa diri saya,” katanya.

INFO

Final Liga Negara-Negara ini bakal menjadi perlawanan terakhir bagi Yamal sebelum menjejak usia 18 tahun.

Namun, di usia yang masih mentah ini, rekod pencapaiannya sudah cukup mengagumkan. Beliau telah pun merangkul Kejuaraan Eropah bersama skuad Sepanyol, selain dua gelaran La Liga dan Piala Raja Sepanyol bersama kelabnya, Barcelona.

Statistik Yamal cukup menakjubkan: beliau telah melakukan 106 penampilan bersama Barcelona, menyumbang 25 gol dan 18 bantuan gol.

Bersama skuad kebangsaan Sepanyol, catatan beliau adalah 20 kap antarabangsa, dengan enam gol dan sembilan bantuan gol.

Yamal juga telah mengukir nama sebagai penjaring gol di separuh akhir Kejuaraan Eropah, Liga Juara-Juara, dan Liga Negara-Negara, termasuk meledak dua gol dalam kemenangan dramatik 5-4 ke atas Perancis.

Tidak ketinggalan, rekodnya turut termasuk empat gol dalam pertembungan klasik El Clasico menentang Real Madrid.

Sebagai perbandingan, pada usia 18 tahun, Ronaldo hanya mencatatkan lima gol dan tiga bantuan gol dalam 19 perlawanan untuk Sporting.

Beliau juga belum membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Portugal atau memenangi sebarang trofi utama.

Ronaldo terpaksa menunggu sehingga usia 22 tahun untuk memenangi gelaran liga pertamanya (bersama Manchester United), manakala trofi antarabangsa utama pertamanya (Euro 2016) hanya diraih pada usia 31 tahun.

Jelas sekali, Yamal telah mencapai lebih banyak kejayaan berbanding Ronaldo di usia remaja, memahat namanya sebagai antara pemain paling berpotensi dalam sejarah bola sepak.

Sungguhpun Yamal telah mencapai kemuncak kejayaan di usia muda, cabaran sebenar baginya adalah untuk menandingi ketahanan dan konsistensi luar biasa yang ditunjukkan oleh kapten Portugal itu.

Pada usia 40 tahun, Ronaldo masih menunjukkan ketajaman yang menggerunkan untuk negara dan kelabnya, walaupun kini beraksi dalam liga yang kurang kompetitif di Arab Saudi.

Beliau dijangka akan menandatangani perjanjian baharu dengan Al-Nassr pada musim panas ini, satu bukti jelas nilai dan permintaan berterusan terhadap khidmatnya.

Jaringan gol kemenangan Ronaldo dalam separuh akhir Liga Negara-Negara menentang Jerman adalah gol ke-137 dalam penampilan ke-220 beliau bersama Portugal. Kedua-dua angka ini merupakan rekod dalam bola sepak antarabangsa lelaki.

Secara keseluruhan, beliau telah mengumpul 937 gol sepanjang kariernya – juga merupakan rekod dunia dan dijangka mencapai angka 1,000 dalam tempoh dua tahun akan datang.

Konsistensi Ronaldo sungguh memukau dengan 17 gol yang dijaringkannya pada musim 2022/23 untuk Manchester United dan Al-Nassr, ia merupakan musim paling kurang produktif dalam 19 tahun terakhirnya.

Ini membuktikan betapa luar biasanya piawaian kecemerlangan yang telah ditetapkan oleh Ronaldo sepanjang kariernya.

Ketika Yamal dilahirkan pada Julai 2007, Ronaldo telah pun mengumpul 46 kap antarabangsa memenangi anugerah Ballon d’Or, Liga Juara-Juara, dan bergelar pemain bola sepak termahal sepanjang zaman (menyertai Real Madrid dari United dengan nilai 80 juta pound) sebelum Yamal melangkah ke alam persekolahan.

Malah, anak lelaki Ronaldo, pemain antarabangsa Portugal Bawah-15, Cristiano Ronaldo Jr, hanya tiga tahun lebih muda daripada Yamal.

Ini secara tidak langsung menggambarkan jurang generasi yang sangat besar antara kedua-dua pemain ini, namun kini mereka bersedia untuk bertembung di pentas yang sama, mewakili aspirasi dan legasi bola sepak di era yang berbeza.

Perlawanan ini pasti menjadi satu catatan emas dalam sejarah bola sepak moden.

Scroll to Top