Pertempuran Thailand-Kemboja berterusan

Pertempuran Thailand-Kemboja berterusan
Rumah penduduk kampung di wilayah sempadan Oddar Meanchey di Kemboja yang dibedil artileri tentera Thailand. - Foto AFP

Rumah penduduk kampung di wilayah sempadan Oddar Meanchey di Kemboja yang dibedil artileri tentera Thailand. – Foto AFP

SAMRAONG – Pertempuran sempadan Thailand dan Kemboja berterusan untuk tempoh lima hari berturut-turut menjelang rundingan damai di Putrajaya pada Isnin.

Kedua-dua negara jiran itu sekali lagi saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain sengaja meningkatkan lagi konflik tersebut.

Jurucakap Kementerian Pertahanan di Phnom Penh, Maly Socheata mendakwa pasukan tentera musuh menyerang wilayah mereka dengan senjata berat selain mengerahkan lebih ramai askar tambahan.

Sementara itu, jurucakap tentera Thailand menuduh unit penembak tepat Kemboja mendirikan khemah di kawasan kuil yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara tersebut.

“Phnom Penh turut menempatkan pasukan bantuan tempur di sepanjang sempadan dan melancarkan roket ke arah wilayah kami,” ujarnya.

Difahamkan, insiden berbalas serangan masih berlaku di tujuh kawasan perkampungan di sempadan yang dikelilingi hutan dan kawasan tanaman padi serta getah yang diusahakan penduduk setempat.

“Situasi masih tegang dan Kemboja mungkin sedang siap siaga untuk melancarkan operasi ketenteraan berskala besar sebelum rundingan gencatan senjata tersebut,” jelas jurucakap tentera Thailand lagi.

Di bandar Surin terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan dan lokasi penempatan sementara penduduk dipindahkan, Lamduan Chuenjit, 58, menzahirkan harapannya agar proses damai itu mencapai kata putus positif.

“Saya berharap dialog tersebut akan berjalan lancar dan berakhir dengan pelaksanaan tempoh bertenang,” ujarnya. – AFP

 

Scroll to Top