Pertemuan 115 ahli keluarga lima generasi 'Pak Chu'

Pertemuan 115 ahli keluarga lima generasi 'Pak Chu'

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Buat julung kalinya, lima generasi keturunan keluarga Allahyarham Chu Abdul Rani berkumpul di Klana Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Seramai 115 ahli keluarga berusia dari lima bulan hingga 87 tahun datang dari Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Singapura bagi menjayakan program diberi nama ‘Moh Ler Kome’.

Pengarah program, Dr Rushdan Abd Aziz, 54, berkata, persiapan program itu dirancang sejak tiga bulan lalu dengan sumber kewangan daripada kalangan ahli keluarga.

Beliau berkata, idea mengumpulkan keluarga besar ini dicetuskan olehnya dan isteri, Dr Nor Zainura Zainal, 54.

“Untuk rekod, Chu Abdul Rani atau lebih dikenali sebagai Pak Chu adalah satu nama yang unik di mana menggabungkan tiga bangsa di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India.

“Beliau berasal dari Lambor, Perak dan menetap di Ipoh selepas berkeluarga sehingga meninggal dunia. Hari ini, generasinya berkembang kepada lima generasi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, generasi kedua keluarga itu, Kamarulzaman Chu Abdul Rani berkata, dia bersyukur program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Dia turut berharap semua ahli keluarga dapat berkenalan dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

“Beberapa aktiviti dirancang dan berjaya dilaksanakan. Antaranya senamrobik dan sukaneka.

“Pada sebelah malam, diadakan makan malam yang diselitkan sekali cabutan bertuah dan persembahan. Tema busana majlis adalah pakaian ‘Opah dan Atuk’,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top