Pertemuan Anwar bersama Ahli Parlimen PH dijangka berkait isu semasa, dasar kerajaan

Pertemuan Anwar bersama Ahli Parlimen PH dijangka berkait isu semasa, dasar kerajaan

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Pertemuan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang ini dijangka berkaitan isu-isu semasa dan perkembangan dasar kerajaan.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, beliau percaya pertemuan itu untuk memberi penjelasan berhubung isu-isu semasa dan beberapa perkara penting berkaitan negara.

Menurutnya, ia juga sebagai langkah awal bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan blok kerajaan menjelang sidang Parlimen akan datang.

“Saya percaya pertemuan petang ini adalah untuk memberi penjelasan tentang isu-isu semasa dan beberapa perkara penting berkaitan (dasar) negara.

“Ia juga menjadi medan persiapan kita menghadapi sidang Parlimen yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itubberkata, pertemuan turut akan memperincikan segala isu berbangkit bagi memastikan kesediaan Ahli Parlimen PH dalam membawa suara kerajaan kepada rakyat.

“Insya-Allah, semua isu berkenaan akan diperjelaskan pada petang ini sebagai persediaan rapi bagi sidang Parlimen yang semakin hampir,” katanya.

Difahamkan, pertemuan itu akan berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya pada jam 4.30 petang ini.

Jumaat lalu, Anwar mengadakan pertemuan bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menjelaskan beberapa dasar kerajaan serta memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan wakil rakyat kerajaan perpaduan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top