Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan bahawa beliau hadir dalam pertemuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada Disember tahun lalu.
Tiada gerakan Langkah Bangkok

Memetik laporan Berita Harian, menurut Takiyuddin, pertemuan itu juga disertai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pertemuan tersebut hanyalah perbincangan biasa tanpa agenda khusus, dan tidak ada kaitan dengan apa yang digelar sesetengah pihak sebagai Langkah Bangkok atau Bangkok Move.
“Saya mengesahkan kehadiran saya pada pertemuan itu di Bangkok. Kehadiran saya dibuat dengan pengetahuan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Saya dijemput sebagai Ketua Whip, manakala Datuk Seri Hamzah hadir sebagai Ketua Pembangkang, dan kami berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri di Bangkok,” katanya.
Tambah beliau, tiada sebarang tujuan spesifik dalam pertemuan itu dan hanya berjumpa untuk bertukar pandangan tanpa wujud sebarang gerakan. Difahamkan pertemuan itu adalah melibatkan antara BN dan PN.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan pertemuan berkenaan dengan Langkah Bangkok hanyalah prasangka semata-mata.

“Nak ke Bangkok memang kena melangkah. Apa yang pasti, saya ke sana dengan pengetahuan presiden. Mengenai parti lain, saya tidak tahu,” ujarnya.
Artikel lain:Minta henti spekulasi! Dr Sam nafi terlibat ‘Langkah Bangkok’, tak ikut sebarang perbincangan
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ahmad Zahid mengakui beliau bertemu dengan Hamzah tahun lalu untuk membincangkan isu penyatuan parti Melayu dan Islam. Laporan turut memetik beberapa sumber politik yang menyatakan selain Hamzah, Ahmad Zahid juga bertemu dengan Takiyuddin, yang ketika itu merupakan Timbalan Setiausaha Agung PN.
Pertemuan dipercayai berlaku pada awal Disember tahun lalu semasa lawatan kerja Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, ke Bangkok, Thailand.
Sumber: Berita Harian (Nur Fazlina Abdul Rahim)




