KOTA BHARU: Polis mengesahkan tiada penglibatan atau penganjuran daripada mana-mana badan rasmi seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), klinik kesihatan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pertemuan tertutup komuniti gay yang berlangsung sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, hasil siasatan mendapati program tersebut dianjurkan tanpa sebarang kelulusan atau pemantauan daripada pihak berautoriti.
Menurutnya, tindakan pihak polis adalah berasaskan maklumat risikan dan bukti yang sah tanpa sebarang niat diskriminasi.
âMaklumat yang diterima oleh Polis Kelantan mendapati satu perjumpaan dan pesta gay akan diadakan di Kota Bharu. Hasil risikan dan temubual awam yang dijalankan oleh Pasukan Khas Polis Kelantan mendapati jemputan ke program itu datang melalui WhatsApp dalam kumpulan tertentu.
âPada hari kejadian, Pasukan Khas telah memantau di kediaman tersebut bermula pukul 5.00 petang dan meningkat kepada seramai kira-kira 100 orang pada pukul 8 malam dikesan hadir ke lokasi tersebut,â katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, mereka melakukan aktiviti makan dan sembang-sembang santai sebelum majoriti pengunjung telah meninggalkan lokasi terbabit kira-kira pukul 11 malam.
Katanya, pasukan serbuan telah mengambil langkah berjaga-jaga dan hanya menjalankan tindakan pada pukul 1 pagi bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa risiko kepada keselamatan awam.
âSemasa serbuan dijalankan, pihak polis mendapati seramai 20 orang lelaki berada di premis berkenaan dan mereka mengaku merupakan komuniti gay.
âSelain itu, didapati tiada wakil dari pegawai NGO, atau wakil mana-mana agensi kesihatan kerajaan hadir termasuk pihak KKM,â ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, tujuan utama polis mahu menjaga ketenteraman awam dan juga nilai moral masyarakat.
Katanya, beliau berharap penjelasan ini dapat menepis kekeliruan serta spekulasi yang tular.-UTUSAN