RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmud Abbas, bertemu dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi di Tebing Barat, berhubung konflik Isrtael-Palestin.
Antara lain, usaha memulihkan penyelesaian dua negara kepada konflik itu menjadi agenda utama perbincangan.
Perkara itu dinyatakan pejabat Abbas, yang menjelaskan perkara itu salah satu pertemuan peringkat tertinggi dengan pegawai AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang dilakukan presiden Palestin berusia 86 tahun itu.
Abbas menggesa AS mengambil tindakan terhadap apa yang disifatkannya sebagai ‘amalan sebelah pihak Israel’, yang menjejaskan usaha penyelesaian dua negara.
Antaranya termasuk pengembangan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan tindakan mengusir rakyat Palestin dari pelbagai bahagian Baitulmaqdis timur diceroboh Israel, yang didakwa rakyat Palestin sebagai ibu kota masa depan mereka.
Hubungan antara AS dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) merosot semasa pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump, terutama selepas Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu kota yang tidak berbelah bahagi’ Israel.
Beberapa siri perbincangan antara AS dan Abbas serta PA sudah dilakukan sejak Presiden AS, Joe Biden, memegang jawatan tahun lalu.
Tinjauan pendapat di Palestin menunjukkan sokongan terhadap Abbas dan PA berada pada paras terendah terutamanya selepas presiden yang sudah berusia itu membatalkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya tahun lalu.
Pakar berkata Washington berminat bekerjasama dengan sekutu setianya, Israel, untuk menyokong PA, terutama sebagai benteng menentang Hamas, kumpulan Islam yang mengawal Segenting Gaza.
Hamas kini dilabelkan sebagai pertubuhan pengganas oleh kebanyakan negara Barat termasuk yang terbaru, Australia, semalam.
Pelosi, yang mengetuai delegasi lapan penggubal undang-undang parti Demokrat ke wilayah itu, sebelum ini bertemu dengan pegawai tertinggi Israel, termasuk Perdana Menteri, Naftali Bennett, semalam.
Bennett berterima kasih kepadanya atas ‘sokongan berterusannya untuk Israel’.
Dalam perbincangan dengan pegawai Israel, Pelosi dan delegasi AS mengesahkan ‘komitmen kukuh AS terhadap negara Israel’.
“Kami berulang kali menegaskan komitmen AS terhadap penyelesaian dua negara yang adil dan berkekalan, sekali gus meningkatkan kestabilan serta keselamatan untuk Israel, Palestin dan jirannya,” kata pejabat Speaker dalam satu kenyataan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd



