Pertikaian sempadan Thailand – Kemboja cetus konflik paling berdarah

Pertikaian sempadan Thailand – Kemboja cetus konflik paling berdarah

Bangkok: Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja kini menjadi konflik paling berdarah dalam tempoh lebih sedekad apabila sekurang-kurangnya 14 individu terbunuh dalam pertempuran bersenjata membabitkan jet pejuang, kereta kebal dan artileri.

Ketegangan yang sekian lama berlaku antara dua negara Asia Tenggara itu kembali memuncak pada hujung Mei lalu, selepas seorang askar Kemboja maut dalam insiden tembak-menembak di sempadan.

Sejak itu, kedua-dua negara saling membidas, mengenakan tindakan balas serta mencetuskan krisis politik di Thailand sehingga berlaku peningkatan drastik kekerasan ketenteraan minggu ini.

Sempadan sepanjang 800 kilometer antara kedua-dua negara dilakar ketika era penjajahan Perancis ke atas Indochina antara tahun 1863 hingga pertengahan 1950-an.

Pakar sains politik Thailand, Thitinan Pongsudhirak berkata, peta sempadan yang dipersetujui antara kerajaan Perancis dan Kerajaan Siam yang masih menjadi punca utama pertikaian hari ini.

Ketika Perang Dunia Kedua, Siam sempat merampas beberapa wilayah Kemboja tetapi terpaksa memulangkannya kepada Perancis pada 1946.

Kejatuhan rejim Khmer Rouge di Kemboja pada 1979 turut menambah kekeliruan sempadan apabila saki-baki anggotanya lari ke kawasan bersempadan dengan Thailand untuk berlindung.

Antara kawasan paling panas ialah berdekatan Kuil Preah Vihear yang berusia 900 tahun dan diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menjadi rebutan kedua-dua negara hingga tercetus pertempuran antara 2008 hingga 2011, mengorbankan 28 nyawa.

Krisis terbaharu bermula pada 28 Mei lalu apabila seorang askar Kemboja maut dalam kejadian tembak-menembak di sempadan dan kedua-dua pihak mendakwa bertindak atas dasar mempertahankan diri.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra digantung tugas selepas didakwa tunduk kepada Phnom Penh dalam satu perbualan bocor bersama bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.

Dalam kejadian terbaharu, lima tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api memaksa negara itu menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Kemboja.

Tentera Thailand kemudian melancarkan serangan udara ke atas sasaran tentera Kemboja manakala Kemboja pula membalas dengan tembakan roket dan artileri, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang awam terbunuh.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pernah menyerahkan kuasa ke atas Kuil Preah Vihear kepada Kemboja pada 1962, namun Thailand enggan mengiktiraf keputusan itu termasuk hak milik ke atas kawasan sekitarnya.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet memfailkan aduan baharu ke tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), manakala Thailand mahu terus menggunakan rundingan dua hala yang sudah berusia hampir 30 tahun.

Pemerhati politik memberi amaran, ketegangan kali ini membongkar suasana dalaman yang tidak stabil di kedua-dua negara terutama konflik dalaman antara tentera Thailand dan keluarga politik Shinawatra.

Kedua-dua negara saling menuduh pihak lawan memulakan serangan terlebih dahulu. Thailand mengecam Kemboja sebagai “kejam dan dahagakan perang”, manakala Kemboja pula menuduh Thailand melakukan “pencerobohan ketenteraan tanpa provokasi”.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top