Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mencadangkan supaya gaji penjawat awam bermula dengan RM2,208 wajar dipertimbangkan kerajaan.
Ini disebabkan kos sara hidup semakin meningkat dan terasa sangat nilai ringgit sudah lama pun merosot.
Jika 20 tahun dahulu dengan membawa RM50 untuk membeli barang dapur dipasar boleh membawa pulang sebakul penuh ikan, udang, sotong dan sayuran. Kini, nak bawa balik separuh bakul pun susah.
Bayangkan kalau dahulu harga nasi lemak bungkus daun pisang hanya 50 sen, namun kini harganya sudah mencecah RM2. Hala sama juga berlaku membabitkan banyak makanan lain.
Sewa rumah, terutama sekali di bandar besar kini mencecah RM700 sebulan untuk rumah flet yang mempunyai dua bilik tidur dan satu bilik air. Itu pun kalau nasib baik kerana sewaan rumah juga naik mendadak.
Dengan gaji RM2,000 sebulan serta mempunyai keluarga seramai empat orang untuk tinggal di bandar adalah sesuatu yang memeritkan kerana serba-serbi memang ibarat ‘ikat perut’.
Itulah realiti kehidupan di kota bagi mereka yang berpendapatan rendah sedangkan kos sara hidup tinggi.
Tidak menghairankan jika ada yang terpaksa berhutang ke sana-sini untuk menampung kehidupan dan akhirnya terjebak dengan hutang bersama ‘ah long’ disebabkan kesempitan hidup.
Inilah puncanya kucar-kacir sesebuah keluarga itu dengan pelbagai masalah sosial.
Kerajaan perlu menyegerakan kenaikan gaji pekerja, termasuk kakitangan awam dengan sekurang-kurangnya RM2,000 gaji minimum.
Kenaikan gaji pula mesti mengikut keadaan kos sara hidup semasa, iaitu RM200 setahun dan maksimum gaji pula mesti mencecah RM8,000 dan bukannya RM3,000 seperti mana sekarang ini.
Pekerja di negara ini perlu mendapat pembelaan dan pastikan mereka boleh hidup sederhana dan sekurang-kurangnya mampu untuk menanggung keluarga, bukannya hidup merempat dan susah sepanjang hayat.
Oleh itu, diharap kerajaan dapat mempertimbangkan keluhan isi hati rakyat ini supaya dapat memberikan yang terbaik untuk rakyat hidup sebagai manusia.
Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail
Ampangan, Seremban
Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my
© New Straits Times Press (M) Bhd




