mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Malaysia tidak memerlukan kemasukan sisa plastik dan e-waste dalam jumlah berlebihan serta wajar mempertimbangkan moratorium sementara selama enam bulan bagi menilai kesan sebenar terhadap negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, tempoh enam bulan itu dicadangkan sebagai langkah percubaan untuk melihat implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan negara.
“Perkara ini, akan dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi meneliti punca kuasa yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dasar jangka panjang dibuat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 1/2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penubuhan Pasukan Petugas Khas itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan bahawa isu pengimportan sisa plastik dan e-waste bukan lagi sekadar isu teknikal atau alam sekitar, sebaliknya menjadi isu tadbir urus, integriti penguatkuasaan serta kepentingan nasional.
Menerusi surat Ketua Setiausaha Negara bertarikh 8 Disember lalu, SPRM dilantik sebagai pengerusi pasukan itu, menandakan peralihan kepada pendekatan pengurusan risiko nasional secara menyeluruh.
Isu berkenaan turut berkait rapat dengan obligasi antarabangsa Malaysia di bawah Konvensyen Basel yang mengawal pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya.
Laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) 2025 menunjukkan Malaysia antara negara teratas mengimport sisa sejak 2023, manakala Mismanaged Waste Index (MWI) 2025 mengklasifikasikan Malaysia dalam kategori tinggi dengan kira-kira 26.4 peratus sisa plastik tidak diuruskan dengan baik.
Dalam mesyuarat itu, Tan Sri Azam menegaskan keperluan kerjasama rapat antara 12 pasukan petugas khas yang dilantik, khususnya melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurutnya, JKDM misalnya berperanan mengawal import dan eksport serta mencegah penyeludupan selaras dengan peruntukan Akta Kastam 1967, manakala JAS bertanggungjawab melaksana dan menguatkuasakan Konvensyen Basel termasuk kelulusan serta pemantauan import dan eksport sisa.
“MITI pula berperanan menggubal dasar perdagangan dan industri serta mengawal kelulusan lesen berkaitan import dan eksport.
“Sementara itu, Malaysia telah mula mengetatkan sekatan import sisa plastik berkuat kuasa 1 Julai 2025, dengan kebanyakan import dilarang kecuali yang dibenarkan melalui sistem permit SIRIM dan MITI. Langkah itu bertujuan mengurangkan kemasukan plastik buangan asing serta memastikan hanya sisa sesuai untuk kitar semula dibenarkan masuk ke negara ini,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan; Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, Sudirman Aban; Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal serta wakil-wakil agensi yang dilantik.
Muka depan Harian Metro sebelum ini merungkai modus operandi penyeludup menggunakan deklarasi palsu bagi membolehkan sisa plastik tercemar atau tidak diproses diisytiharkan sebagai barangan lain, sekali gus mengaburi pihak berkuasa ketika pemeriksaan.
Bagaimanapun, helah pengimport menyeludup masuk sisa plastik ke negara ini terbongkar apabila JKDM menggagalkan 50 cubaan penyeludupan sejak 2023 hingga 30 Jun lalu membabitkan hampir dua juta kilogram (kg) sisa plastik dengan nilai melebihi RM5.57 juta.
Kebanyakan kes dikesan menggunakan pengikraran tidak tepat serta memanipulasi kod barangan bagi mengelakkan pemeriksaan terperinci.
Susulan pendedahan itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengesyorkan SPRM mengetuai satu pasukan khas bagi membanteras isu berkenaan.
Katanya, langkah itu selaras dengan usaha meningkatkan integriti serta pematuhan peraturan berkaitan pengurusan sisa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




