am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penjawat awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menikmati hanya satu hari kelepasan am gantian, manakala kakitangan swasta pula (kecuali di Labuan) mendapat cuti gantian selama dua hari susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam pada 1 Februari ini.
Pertindihan kedua-dua sambutan berkenaan pada hari cuti hujung minggu, Ahad, menyaksikan penjawat awam akan memperoleh hari kelepasan am gantian pada 2 Februari ini, dan pekerja swasta hingga 3 Februari.
Penetapan itu berdasarkan kenyataan berasingan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) masing-masing pada 8 Januari lalu dan Disember 2025 yang disahkan masih diguna pakai, setakat ini.
Menurut kenyataan JPA, penetapan itu selaras Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am.
“Bagi pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, walaupun Hari Wilayah Persekutuan serta Thaipusam jatuh pada tarikh sama, pegawai hanya akan menikmati tundaan hari kelepasan am pada hari berikutnya, iaitu 2 Februari 2026.
“Bagi pegawai perkhidmatan awam berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tundaan hari kelepasan am bagi Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari 2026 juga adalah pada 2 Februari.
“Penetapan cuti gantian akibat pertindihan hari kelepasan am sebagaimana dinyatakan dalam siaran media ‘Cuti Umum Sempena Perayaan Thaipusam dan Hari Wilayah Bagi Pekerja Swasta Pada 1 Februari 2026’ yang dikeluarkan oleh JTKSM pada Disember 2025, adalah tidak terpakai kepada pegawai perkhidmatan awam,” katanya.
Sementara itu, JTKSM dalam kenyataannya pula memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mewartakan hari kelepasan am bagi 2026, iaitu Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari.
Menurutnya, cuti Hari Wilayah Persekutuan wajib diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, kepada pekerja sebagaimana peruntukan Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan tidak boleh diganti.
“Memandangkan cuti Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada Ahad, maka majikan yang menetapkan Ahad sebagai rehat mingguan pekerja hendaklah memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya (Isnin).
“Selanjutnya, majikan yang memilih cuti Thaipusam sebagai baki enam hari kelepasan am yang dipilih sebagaimana Subseksyen 60D(1)(a) Akta 265, perlu memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya (Selasa) memandangkan terdapat pertindihan kedua-dua hari kelepasan am ini.
“Majikan juga boleh memberikan pekerja mana-mana hari lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti dengan persetujuan pekerja, sebagaimana Seksyen 60D(1A).
“Pekerja yang diarahkan bekerja pada hari kelepasan am, layak menerima kadar gaji bagi cuti am seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 60D(3),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




