KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan tidak semestinya mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), sebaliknya keputusan dasar monetari terus bergantung kepada prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan menilai sama ada perkembangan terkini mengubah penilaiannya terhadap prospek ekonomi sebelum membuat sebarang keputusan.
“Apa yang ingin kita pastikan ialah sama ada perkembangan ini selaras dengan prospek pertumbuhan dan inflasi,” katanya pada sidang akhbar prestasi ekonomi suku kedua 2026 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.
Abdul Rasheed berkata, kestabilan harga kekal menjadi objektif utama dasar monetari, khususnya ketika harga tenaga berada pada paras tinggi dan ketidaktentuan berkaitan perkembangan di Asia Barat.
“BNM akan terus memantau perkembangan yang boleh mempengaruhi prospek inflasi, termasuk sama ada kenaikan harga menjadi lebih berterusan dan meluas.
“Kita berpegang kepada kestabilan harga dan melihat ke semua faktor ini,” katanya.
Beliau mengulas soalan sama ada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua boleh mendorong MPC menaikkan OPR.
Menurut Abdul Rasheed, bank pusat akan menilai data dan perkembangan terbaharu sebelum menentukan sama ada pendirian dasar monetari semasa masih selaras dengan penilaiannya terhadap pertumbuhan dan inflasi.
Katanya, prestasi pertumbuhan yang kukuh baru-baru ini perlu dinilai bersama prospek inflasi dan tidak boleh dilihat secara berasingan.
“Ekonomi Malaysia berkembang enam peratus pada suku kedua 2026, mengatasi anggaran awal yang diumumkan sebelum ini,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, prestasi kukuh itu akan diambil kira dalam penilaian prospek ekonomi BNM, namun beliau tidak memberi petunjuk mengenai sebarang perubahan terhadap pendirian dasar monetari ketika ini.
Katanya, bank pusat akan terus memantau perkembangan dalam beberapa minggu akan datang sebelum membuat penilaian seterusnya. – UTUSAN
