KEUPAYAAN menterjemahkan perubahan strategi dengan segera menjadi faktor utama yang membolehkan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mara ke perlawanan akhir Terbuka Indonesia Super 1000 pada Sabtu.
Malah menurut Pearly, keupayaan mengubah rentak permainan itu juga menyaksikan mereka bangkit selepas tewas set pertama untuk menang baki dua set berikutnya dalam masa 64 minit.
“Kami seperti biasa mahu memberi aksi terbaik dalam gelanggang, dan sangat gembira apabila berjaya mengubah rentak permainan yang akhirnya memihak kepada kami,” katanya.
Pearly-Thinaah sebelum itu mengesahkan slot perlawanan akhir Terbuka Indonesia selepas menewaskan pilihan kelima dari China, Li Yi Jing-Luo Xu Min, dalam perlawanan separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta.
Beregu wanita nombor empat dunia itu mengatasi pasangan China yang berada di ranking keenam tersebut, dengan keputusan 12-21, 21-17, 21-11 dalam perlawanan menghiburkan disaksikan penonton yang memenuhi stadium berkenaan.
Jelas Pearly lagi, kerjasama dan komunikasi yang mantap sesama mereka menjadi kunci utama kejayaan mara ke pentas akhir kedua musim ini.
“Kami saling menyokong dan berkomunikasi dengan baik, ini yang sangat membantu kemenangan kami hari ini, paling penting menikmati permainan,” katanya.
Menjelang pertarungan akhir, Pearly menegaskan fokus utama mereka kini adalah pada proses pemulihan.
“Buat masa ini, kami mahu berehat secukupnya, berbincang dengan jurulatih kami, dan fokus kepada pemulihan.
“Biarpun begitu saya percaya masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam permainan,” katanya yang turut menghargai sokongan padu penyokong-penyokong di Istora Senayan, Jakarta.
Pearly-Thinaah selepas ini akan berdepan pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China, dalam pelawanan akhir.
Sheng Shu-Tan Ning mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee, 21-19, 21-18 dalam masa 59 minit.
Sebagai rekod, Terbuka Indonesia merupakan kejohanan berstatus Super 1000 pertama buat Pearly-Thinaah, selain menjadi pentas final buat beregu wanita negara selepas 16 tahun.