Peruntukan RM287.8 juta untuk pelbagai projek air di Terengganu – PETRA

Peruntukan RM287.8 juta untuk pelbagai projek air di Terengganu – PETRA

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan RM287.8 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek berkaitan air di Terengganu di bawah Rolling Plan ke-5 (RP5) Tahun 2025 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata,peruntukan itu membabitkan 27 projek merangkumi 22 projek berkaitan sumber air, tebatan banjir dan hakisan pantai, tiga projek bekalan air dan dua projek berkaitan pembetungan.

Beliau berkata, 22 projek dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membabitkan peruntukan RM279.2 juta, tiga projek bekalan air yang dilaksanakan di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA) dengan peruntukan RM2.6 juta dan dua projek dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) membabitkan peruntukan RM6 juta.

“Untuk projek pengawalan hakisan pantai di Kuala Nerus, status kemajuan fizikal

terkininya adalah 24.5 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027.

“Projek dengan peruntukan Pembangunan (DE) Kerajaan Persekutuan

menerusi PETRA bernilai RM90 juta ini meliputi kerja-kerja ‘beach nourishment’ sepanjang dua kilometer dan pembinaan 16 pemecah ombak.

“Dari segi status, saya difahamkan tadi ada (pemecah ombak) yang berjaya (siap) hingga 92 peratus dan sebagainya tapi ada juga yang masih lagi di peringkat pelaksanaan (contohnya) 10 peratus, 20 peratus kerana sudah tentu setiap pelaksanaan itu mengambil masa sedikit.

“Alhamdullilah, saya diberi jaminan tadi oleh kontraktor bahawa beliau akan cuba menyiapkan sebaik mungkin kalau boleh sebelum musim tengkujuh pada tahun ini bagi beberapa komponen dalam jangka masa pendek (yang mana ada) lapan pemecah ombak yang telah dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus di sini hari ini.

Mengulas mengenai projek pengawalan hakisan pantai di Kuala Nerus itu lagi, Mad Zaidi berkata, projek itu akan memulihara semula kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan dari Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus.

Katanya, pelaksanaan projek itu dijangka dapat mengekalkan garisan pantai, menghalang berlakunya banjir pantai dan seterusnya mengelak daripada berlakunya kemusnahan harta benda dan infrastruktur bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top