Peruntukan Tabung Bencana Pertanian bantu petani terjejas

Melaka: Peruntukan RM80 juta bagi penubuhan Tabung Bencana Pertanian yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini, diharap mampu memanfaat golongan sasar terjejas akibat Covid-19 dan musim tengkujuh, ketika ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, penilaian mengenai kaedah agihan peruntukan akan difokuskan terhadap kumpulan terjejas teruk ketika penularan wabak Covid-19 dan musim tengkujuh.
“Peruntukan ini membuktikan kerajaan sangat menitikberatkan masalah dihadapi golongan kurang berkemampuan, khususnya di luar bandar seperti petani dan nelayan sementelah wabak ini melanda dan kini pula sudah tiba musim tengkujuh.
“Jadi kementerian akan bantu kumpulan sasar yang terkesan dan penilaian untuk mengagihkan bantuan itu akan dibuat mengikut kerosakan dialami petani dan nelayan,” katanya selepas merasmikan Program Menuai Padi di Skim Padi Tedong, Serkam, semalam.
Hadir sama, Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee; Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Azunita Salim; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor dan Setiausaha Bahagian Industri Padi Beras (IPB), Azman Mahmood.
Khamis lalu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dilaporkan berkata, kerajaan bercadang untuk menyediakan peruntukan RM80 juta untuk Tabung Bencana Pertanian.

ZA137 Malay News
National Desk

Scroll to Top