Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS): Menerajui Inisiatif Kelestarian Melalui ESG

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha mengimbangkan pertumbuhan perniagaan dan kelestarian alam sekitar. Pendekatan yang semakin mendapat perhatian dalam menangani cabaran ini adalah penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaan.

Di peringkat global, ESG berkait rapat dengan sasaran pelepasan karbon sifar (net zero karbon), yang menekankan usaha untuk mengurangkan pelepasan gas rumah. ESG bukan sahaja mendorong syarikat untuk bertindak proaktif dalam mengurangkan jejak karbon mereka, tetapi juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menekankan tindakan terhadap perubahan iklim (SDG 13), kesamarataan dalam pekerjaan (SDG 8), dan pengurangan ketidaksamaan (SDG 10).

Di Malaysia, kepentingan ESG semakin diakui sebagai penyokong utama usaha negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar (net zero karbon) menjelang 2050. Meskipun amalan ESG biasanya dikaitkan dengan syarikat besar, semakin PKS kini mula memahami manfaatnya dalam meningkatkan daya saing di pasaran yang semakin mementingkan kelestarian. Menurut laporan terkini, Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura dalam penerapan prinsip ESG di ASEAN. Namun, walaupun usaha ini menunjukkan perkembangan positif, pengaplikasian ESG dalam kalangan PKS tempatan masih di peringkat awal.

Bagi PKS yang ingin mengintegrasikan ESG ke dalam operasi mereka, beberapa langkah praktikal boleh dipertimbangkan:

  1. Pengurusan Alam Sekitar yang Proaktif (Alam Sekitar)

PKS boleh memulakan langkah ESG dengan memberi tumpuan kepada pengurangan impak alam sekitar melalui pengurusan tenaga yang cekap dan penggunaan bahan mentah yang lestari. Penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan amalan pengeluaran hijau berpotensi mengurangkan pelepasan karbon, seiring dengan permintaan pelanggan yang semakin peka terhadap perubahan iklim. Penerapan teknologi hijau dan digitalisasi, termasuk perisian pengurusan tenaga dan Internet of Things (IoT), juga membantu PKS dalam mengawal penggunaan elektrik. Selain itu, pengenalan sistem pengurusan air yang efisien, seperti pengumpulan air hujan dan kitar semula air sisa, dapat mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kelestarian operasi mereka.

  1. Sokongan kepada pihak berkepentingan (Social)

PKS dapat memastikan kesejahteraan pekerja dengan menyediakan persekitaran kerja yang inklusif dan selamat serta menawarkan peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran. Dengan mengambil tenaga kerja dari pelbagai latar belakang, termasuk golongan kurang upaya, PKS dapat memperkaya budaya kerja. Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berkesan, PKS juga boleh menyokong inisiatif pendidikan dan kesihatan serta bekerjasama dengan komuniti setempat dan pihak berkepentingan yang lain. Selain memberikan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan, langkah-langkah ini membina hubungan jangka panjang yang kukuh dengan pelanggan dan memperkukuhkan peranan PKS dalam pertumbuhan ekonomi tempatan.

  1. Menguatkan Tata Kelola Syarikat (Tadbir Urus)

Aspek tadbir urus melibatkan pengurusan syarikat yang telus dan bertanggungjawab. PKS perlu menetapkan dasar berkaitan kepatuhan undang-undang dan etika perniagaan serta menolak segala bentuk penipuan dan rasuah. Memastikan lembaga pengarah terdiri daripada individu berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang berkaitan adalah langkah penting untuk membina reputasi yang baik dan meningkatkan kepercayaan di kalangan pemegang saham. Penggunaan teknologi digital untuk memantau kewangan dan operasi juga akan meningkatkan ketelusan, mencegah ketidakpatuhan, dan menarik minat pelabur yang mencari syarikat berpotensi tinggi. Di samping itu, PKS harus menyediakan laporan berkala mengenai pencapaian dan kemajuan dalam inisiatif ESG. Melalui laporan yang telus, PKS dapat menunjukkan komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial, meningkatkan kepercayaan pelabur, dan memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran.

Sebagai Kesimpulan, integrasi ESG dalam operasi PKS memberikan banyak manfaat jangka panjang, termasuk pengurangan risiko dan peluang kepada pembiayaan yang lebih baik. Namun, cabaran seperti kekurangan pemahaman tentang ESG dan sumber kewangan yang terhad boleh menjadi halangan dalam pelaksanaannya. Dengan penerapan strategi yang berfokus pada kelestarian, PKS dapat mencipta nilai tambah yang signifikan, bukan sahaja untuk syarikat tetapi juga untuk alam sekitar dan masyarakat. Ini membuktikan bahawa komitmen terhadap ESG adalah langkah penting untuk masa depan yang lebih lestari dan bertanggungjawab, serta menyokong matlamat Malaysia sebagai negara yang berdaya saing di peringkat global.

 

Maklumat penulis:
Nurul Nadiah Ahmad
Pensyarah Kanan, Uniten Business School,
Universiti Tenaga Nasional,
Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

 

Scroll to Top