am@hmetro.com.my
Melaka: Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memulakan misi khas bagi menjejak lokasi dipercayai tempat Sultan Melaka mandi berusia ratus tahun di Kem Terendak, Sungai Udang, di sini.
Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah, berkata, misteri ratusan tahun itu pernah direkodkan dalam catatan Manuel Godinho de Eredia, penulis Portugis abad ke-16 dalam bukunya, Description of Malacca.
Menurutnya, misi dikenali sebagai Program Eksplorasi Menjejaki Monumen Kesultanan Melayu Melaka itu bermula 12 Januari lalu, dengan tumpuan pencarian kawasan yang berkemungkinan menempatkan kolam diraja berkenaan.
“Catatan berkenaan merujuk kewujudan sebuah kolam di kawasan Tanjung Panchor, yang kini berada dalam lingkungan Kem Terendak.
“Jadi misi eksplorasi itu dilaksanakan bagi mengenal pasti kawasan yang menepati ciri fizikal berdasarkan gambaran sejarah yang direkodkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pencarian memberi fokus khusus kepada lokasi yang dikatakan menjadi tempat pemandian Sultan Melaka, dengan setiap kawasan dikenal pasti akan diteliti secara terperinci menerusi kaedah penyelidikan dan dokumentasi sistematik.
Katanya, pasukan eksplorasi membabitkan kira-kira 50 orang diketuai Kurator Bahagian Pemuziuman PERZIM, Nurman Mohd Baroldin dan usaha itu turut disokong kepakaran akademik daripada Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Dr Hasanuddin Yusof dari Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam (MAPTIM).
“Eksplorasi itu juga mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Markas Garison Terendak, Muzium Tentera Darat, Unit Forensik ATM dan Unit Sejarah ATM, selain kumpulan penyelidik UKM dan MAPTIM,” katanya.
Erne berkata, bagaimanapun sebarang penemuan yang diperoleh tidak akan terus dikaitkan dengan warisan Kesultanan Melayu Melaka tanpa melalui proses pengesahan ketat.
Beliau menegaskan, PERZIM tidak mahu membuat kesimpulan awal tanpa bukti sahih, namun berharap eksplorasi itu mampu menemukan petunjuk penting bagi mengukuhkan naratif sejarah Kesultanan Melayu Melaka.
“Secara tidak langsung menyingkap kembali landskap sejarah Melaka dengan menggabungkan sumber bertulis Barat dan penyelidikan lapangan tempatan agar warisan negeri dipelihara berasaskan fakta dan bukti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



