bhnews@bh.com.my
SLIM RIVER: Seorang pesakit lelaki cedera selepas tabung oksigen dalam Bilik Isolation Hospital Slim River (HSR) terbakar, malam tadi.
Dalam kejadian terbabit, pesakit lelaki berumur dalam lingkungan 48 tahun itu melecur kira-kira sembilan peratus pada bahagian tangan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian kebakaran itu kira-kira jam 7.42 malam.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan berkenaan.
“Api berjaya dipadamkan kakitangan hospital dengan menggunakan alat pemadam api sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, pihak bomba juga melakukan pemeriksaan dan penilaian susulan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




