bhnews@nstp.com.my
KOTA BHARU: Pesakit COVID-19 yang membawa bayi atau kanak-kanak bawah umur akan ditempatkan di bilik pengasingan khas sebagai langkah perlindungan.
Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir, berkata ibu bapa atau penjaga yang terpaksa membawa anak-anak mereka akan ditempatkan di tiga lokasi.
Katanya, ia membabitkan PKRC di Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa atau Kolej Jururawat Kota Bharu.
“Tiga lokasi ini mempunyai bilik pengasingan, jadi hanya ibu bapa atau penjaga bersama anak-anak mereka akan ditempatkan di bilik itu.
“Ia bagi melindungi bayi atau kanak-kanak yang tidak dijangkiti daripada bersama pesakit COVID-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dr Mohd Zurairie berkata, kanak-kanak tidak dijangkiti COVID-19 tetapi terpaksa dibawa ke PKRC kerana tiada pengasuh atau faktor keselamatan, akan dipantau oleh petugas kesihatan supaya selamat dan bebas daripada jangkitan.
Beliau berkata, unit pengangkutan COVID-19 akan mengambil pesakit untuk ditempatkan di lokasi yang dipilih.
“Setakat hari ini, seramai 217 bayi dan kanak-kanak bawah umur 12 tahun masih dirawat di PKRC akibat jangkitan COVID-19.
“Kebiasaannya, pesakit bawah umur 12 tahun akan ditemani ibu bapa atau penjaga, manakala yang berusia 13 tahun ke atas mereka boleh berdikari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



