Kaherah: Pakar bedah Mesir di Hospital Umum Hurghada berjaya mengeluarkan sebuah telefon bimbit kecil dari perut seorang pesakit selepas peranti itu menyebabkan halangan yang mengancam nyawa, umum pegawai kesihatan Mesir, lapor Gulf News.
Menurut Direktorat Kesihatan Laut Merah, pesakit yang tidak dikenal pasti identitinya itu tiba di hospital kerana mengalami sakit perut yang teruk, muntah berterusan dan keletihan.
Imbasan pengimejan mendedahkan terdapat objek asing yang menyekat perut yang kemudiannya dikenal pasti oleh pakar bedah sebagai telefon bimbit kompak yang tertelan oleh pesakit secara tidak sengaja.
Pengarah hospital, Dr Karim El Shabrawy memberitahu pemberita bahawa sepasukan pakar perubatan khas menjalankan prosedur segera untuk mengeluarkan peranti itu.
Katanya, pembedahan itu selesai tanpa sebarang komplikasi dan pesakit kembali sedar di wad pemulihan dengan tanda-tanda vital yang stabil walaupun masih di bawah pemerhatian.
Meskipun pakar bedah berjaya mengeluarkan telefon bimbit dari perut pesakit di Mesir itu, masih belum didedahkan bagaimana peranti itu boleh berada di sana.
Kes di Hurghada itu menambah kepada senarai pelik di seluruh dunia mengenai kejadian bilik kecemasan membabitkan insiden menelan objek.
Laporan perubatan pernah merekodkan pesakit yang menelan segala-galanya daripada 40 pisau hinggalah satu paun (kira-kira 400 gram) paku dan skru.
Pada 2021, Mesir merekodkan kes pertama yang diketahui membabitkan telefon bimbit ditelan sepenuhnya, yang tersekat di esofagus pesakit.
© New Straits Times Press (M) Bhd