Pesakit kencing manis, darah tinggi tak dibenarkan tunai haji, Dr. Nimelesh titip pesanan – “Jaga kesihatan…”

Pesakit kencing manis, darah tinggi tak dibenarkan tunai haji, Dr. Nimelesh titip pesanan – “Jaga kesihatan…”

Semalam, kecoh di media sosial apabila akhbar Utusan Malaysia melaporkan hanya 45 daripada 85 jemaah dari Perlis sahaja berjaya melepasi  diri ke tanah suci bagi mengerjakan ibadah haji kerana menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Ekoran itu, ramai orang dilihat meluahkan ketidakpuasan dan mengkritik kenyataan tersebut kerana dikatakan tidak masuk akal.

Prihatin dengan isu tersebut, seorang doktor yang dikenali sebagai Nimelesh memuat naik satu ciapan di laman Twitter miliknya dengan mengatakan syarat kelayakan bagi menunaikan ibadah haji pada tahun ini amatlah ketat.

Menerusi ciapan tersebut, Nimelesh turut menyertakan beberapa jenis penyakit seperti obesiti, penyakit kronik sistem pernafasan, darah tinggi tak terkawal (>160/100), kencing manis (HbA1C lebih daripada 8) dan masalah kegagalan jantung kelas 2.

Tambah Nimelesh, sebenarnya terdapat banyak lagi senarai-senarai penyakit yang dilarang dan dia mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan diri.

Pun begitu, Nimelesh memberitahu kepada penghidap pesakit kronik itu bahawa mereka masih boleh menunaikan ibadah haji itu, tetapi haruslah dalam keadaan terkawal.

“Dengan rawatan, senaman, penjagaan pemakanan, gaya hidup yang lebih sihat- bacaan parameter2 yang penting boleh dikawal.”tulisnya.

Oleh itu, Nimelesh meminta kepada semua orang diluar sana supaya peka dengan penjagaan kesihatan diri mulai sekarang. Di samping itu, dia  menyifatkan pengenaan syarat oleh Lembaga Tabung Haji itu adalah jalan terbaik untuk masyarakat kekal sihat dan bebas dari sebarang penyakit kronik.

Scroll to Top