KUALA LUMPUR: Peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar yang kian merunsingkan sejak kebelakangan ini turut mendapat perhatian pelakon dan pengacara popular, Amyra Rosli.
Bagaimanapun, Amyra,33, atau nama penuhnya Nur Amira Izzati Rosli, bersyukur kerana kedua-dua anaknya setakat ini tidak pernah terlibat mahupun menjadi mangsa insiden tidak bermoral itu di sekolah.
“Alhamdulillah, anak-anak saya tidak pernah diancam dengan perkara sebegitu. Mereka jenis introvert, jadi mungkin tiada sebab untuk tercetusnya insiden buli di sekolah.
“Kita juga perlu pesan pada anak-anak jangan membuli di sekolah dan jika dia dibuli kita kena jelaskan kepada mereka tindakan yang perlu diambil iaitu maklumkan kepada guru dan juga ibu bapa,”katanya.
Amyra berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Wajah Baharu Butik Amber di Wangsa Walk, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon drama Sekam Di Dada itu menegaskan setiap ibu bapa wajar memantau tingkah laku anak-anak, di samping memberikan pendedahan tentang bahaya perbuatan buli.
Amyra berkata lagi, dia mengambil pendekatan berhubung terus dengan guru untuk mengetahui perkembangan anak-anak, terutama jika berlaku perubahan tingkah laku.
“Tidak kisah anak kita bersekolah di mana pun, kes buli tetap ada. Sebab itu kita perlu selalu pantau dan berbual dengan guru.
“Kadang-kadang bila nampak anak tiba-tiba diam, saya akan terus bertanya kepada guru.
“Hal anak-anak jangan ambil ringan. Ini masa untuk kita ‘pegang’ mereka, kalau tidak nanti mereka lebih bergantung kepada kawan-kawan,” katanya.
Mengulas tentang kes buli yang berlaku di negara ini, Amyra mengakui sedih setiap kali mendengar laporan berkaitan dan berpandangan kesedaran perlu dipupuk dari awal.
“Pihak sekolah perlu memberi pendidikan tentang cara melindungi diri.
“Jika berlaku, ibu bapa kena segera bertindak dan jangan hanya mengharap guru semata-mata kerana mereka juga ada komitmen lain,” jelasnya.
Dalam masa sama, isteri kepada pelakon Amar Baharin itu turut mengehadkan penggunaan gajet anak-anak bagi mengelakkan pendedahan kepada kandungan negatif di media sosial.
“Gajet hanya dibenarkan sejam sehari, selepas sekolah. Saya faham mereka penat belajar, jadi gajet itu sekadar hiburan selain menggalakkan mereka bermain di luar rumah,” katanya.
Untuk rekod, Amyra dan Amar mendirikan rumah tangga pada 11 November 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi Amar, 8, dan Aura Aryssa, 5. -UTUSAN