Pesara, bekas polis jangan jauhkan diri dari PDRM

KUANTAN – Pesara dan bekas polis dinasihati supaya jangan menjauhkan diri dan perlu kekal mengikat silaturahim meskipun sudah tiada lagi dalam perkhidmatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya sentiasa mengenang dan menghargai semua jasa pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa dalam perkhidmatan mereka.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa berusaha menjaga kebajikan wira yang pernah berjasa kepada negara dengan menyediakan bantuan akses portal e-Pesara.

“Justeru itu, inisiatif membuka kaunter bukan sahaja dilaksanakan di IPD (Ibupejabat Polis Daerah) Kuantan malahan serentak di seluruh daerah sekitar Pahang ternyata mendapat sambutan baik,” katanya di sini hari ini.

Program yang berlangsung 30 dan 31 Mac itu bukan sahaja memberi ruang dan keselesaaan kepada pesara datang untuk mendaftar tetapi mereka berpeluang  mengeratkan silaturahim bersama anggota polis.

Program hari ini dihadiri seramai 611 pesara di seluruh Pahang.

“Seramai 103 hadir di kaunter IPD Kuantan dengan kerjasama Bank Islam yang dibuka bagi membantu pesara  membuat semakan, mengemaskini maklumat secara atas talian dan proses yang melibatkan bayaran.

“Sehingga kini, maklumat pesara yang dikumpul lebih daripada 240 pesara dan dinasihatkan juga kepada anggota yang bakal bersara boleh membuat pendaftaran awal.

“Hari bertemu pesara sekali gus melancarkan proses dan mengenal pasti masalah yang sering timbul kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan atas talian,” ujarnya.

E-Pesara PDRM merupakan platform yang dibangunkan khas sebagai hub informasi dan penyimpanan rekod maklumat bersepadu dan sebagai medium permohonan dalam talian.

Jumlah keseluruhan pesara bagi Kontinjen Pahang yang masih hidup ialah seramai 2, 078 orang manakala yang telah mendaftar e-Pesara ialah 1651 orang.- MalaysiaGazette