am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang pesara guru terpaksa menanggung hutang RM130,000 selain wang simpanan berjumlah RM36,000 lesap diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon menyamar pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 64 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 1.21 petang semalam.
Menurutnya, pada 23 November tahun lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada beberapa individu yang memperkenalkan diri kononnya sebagai pendakwa raya, pihak berkuasa dan pegawai penyiasat polis.
Katanya, mangsa kemudian didakwa terlibat dengan penggubahan wang haram dan kesalahan berkaitan keselamatan kanak-kanak.
“Selain itu mangsa juga digertak berada dalam bahaya sekiranya mangsa tidak mematuhi arahan sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa.
“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM150,000 dengan sebuah bank oleh sindiket yang memperkenalkan diri sebagai Zaharah,” katanya.
Menurutnya, selepas pinjaman diluluskan berjumlah kira-kira RM130,000, mangsa kemudian memasukkan wang itu ke dalam satu akaun bank milik mangsa.
Katanya, mangsa juga turut membuat tiga kali transaksi bayaran secara deposit tunai sebagaimana diarahkan bagi menyelesaikan kes terbabit ke dalam tiga akaun bank berbeza berjumlah RM36,000.
Beliau berkata, mangsa kemudian mendapati wang di dalam satu akaun bank berjumlah RM129,900 telah dipindahkan ke dalam tiga akaun yang tidak dikenal pasti tanpa kebenaran bermula pada 30 Disember tahun lalu sehingga 15 Mac lalu.
“Sindiket telah mendaftar, mengaktifkan dan mengakses perbankan internet atas nama mangsa tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan dan wang pinjaman peribadi,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM165,00 selepas wang RM129,900 dan RM36,000 dilarikan sindiket berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




