Pesara kena tipu, rasa dipukau, hilang barang kemas bernilai RM10,000

Pesara kena tipu, rasa dipukau, hilang barang kemas bernilai RM10,000

mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Pesara kerajaan wanita berusia 70 tahun kerugian RM10,000 selepas menjadi mangsa penipuan penebusan tiket loteri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, dalam kejadian jam 11 pagi semalam ketika berada di kawasan makanan basah di sebuah pasar raya di Jalan Pandan Prima, Dataran Pandan Prima, di sini, mangsa didekati suami, isteri serta seorang wanita warga Indonesia yang menunjukkan tiket loteri bernilai RM300,000.

Menurutnya, wanita warga Indonesia itu meminta bantuan mangsa untuk menebusnya kerana tidak mempunyai kad pengenalan serta dijanjikan imbuhan jika membantunya.

“Kemudian, suspek memegang mangsa sehingga dia berasa seperti dipukau dan bersetuju untuk membantu serta mengikuti tiga suspek tersebut ke kereta Proton Waja berwarna kelabu.

“Mangsa dibawa ke beberapa lokasi termasuk Ampang Point dan kawasan belakang sebuah kedai makan. Salah seorang daripada suspek menukar tiket loteri kepada cek dan meminta cagaran sebanyak RM30,000 daripada mangsa sebagai jaminan dia tidak menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa tidak mempunyai wang tunai dan menyerahkan rantai dan gelang emas miliknya yang dianggarkan bernilai RM10,000 sebagai cagaran kepada suspek.

“Mangsa kemudian dibawa ke Maybank Ampang Point kononnya untuk menunaikan cek itu namun, selepas diturunkan dari kereta, kesemua mereka menghilangkan diri.

“Pengadu syaki dipukau sehingga menyerahkan seutas rantai emas dan gelang emas anggaran keseluruhan bernilai RM10,000,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tiada tangkapan setakat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top