Pesara rugi RM308,000 diperdaya phone scam menyamar 'Sarjan Zuraidi'

Pesara rugi RM308,000 diperdaya phone scam menyamar 'Sarjan Zuraidi'

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Pesara kerajaan kerugian RM308,000 terpedaya sindiket phone scam menyamar anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa lelaki berusia 69 tahun menerima panggilan telefon pertama pada 3 Jun lalu, kira-kira jam 11 pagi ketika berada di kediamannya di Kampung Melayu Majidee di sini.

Katanya, pemanggil mengaku sebagai Sarjan Zuraidi dari IPD Petaling Jaya mendakwa mangsa terbabit dalam kes penggubahan wang haram serta pembiayaan keganasan.

“Tidak lama kemudian mangsa menerima satu lagi panggilan daripada nombor telefon berbeza, kononnya dari pejabat mahkamah yang mengarahkan mangsa membuat bayaran bagi mengelakkan hukuman penjara.

“Akibat ketakutan mangsa menuruti arahan suspek dan membuat 44 transaksi pemindahan wang antara 30 Jun hingga 9 Oktober lalu, berjumlah RM308,000 ke empat akaun bank berbeza.

“Hasil semakan awal keempat-empat akaun bank terbabit tidak mempunyai rekod penipuan telefon.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas terus diarahkan membuat pemindahan tambahan dan mula berasa curiga terhadap panggilan diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, pihak polis membuat siasatan lanjut bagi mengenal pasti dan menjejaki individu yang terlibat dalam kegiatan itu.

“Pihak polis dan bank tidak akan sesekali mengarahkan mana-mana individu memindahkan wang ke akaun peribadi untuk tujuan siasatan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top