Pesara rugi RM646,000 diperdaya pelaburan saham tidak wujud

Pesara rugi RM646,000 diperdaya pelaburan saham tidak wujud

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pesara wanita berusia 70 tahun kerugian RM646,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan menerusi aplikasi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kes itu di Sri Petaling, kelmarin.

Beliau berkata, mangsa yang juga pesara sebuah syarikat melihat tawaran pelaburan saham berkenaan sebelum berhubung dengan pentadbir kumpulan WhatsApp.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat 12 transaksi berjumlah RM646,000 ke dalam tiga akaun bank berbeza.

“Mangsa ingin membuat pengeluaran keuntungan yang dijanjikan antara lapan hingga 12 peratus, namun diarahkan membuat bayaran tambahan.

“Mangsa mendapatkan nasihat pihak bank sebelum dimaklumkan bahawa pelaburan berkenaan adalah satu penipuan dan diminta membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Hoo berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, rakaman percakapan pengadu sudah diambil dan dokumen pembayaran turut diperoleh bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top