am@hmetro.com.my
Georgetown: Pesara kerajaan berputih mata selepas hilang wang lebih RM1 juta angkara skim pelaburan saham dalam talian yang disertai menerusi platform media sosial sejak Oktober lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki berusia 67 tahun itu hanya menyedari dirinya diperdaya dan menjadi mangsa penipuan, baru-baru ini serta membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, kelmarin.
Katanya, dalam siasatan awal, mangsa mula diperkenal mengenai pelaburan itu selepas berkenalan dengan wanita di Facebook pada Ogos lalu.
“Suspek menawarkan pelaburan saham dikenali sebagai DAC Pro atas nama syarikat Navis Management Sdn Bhd dan mengarahkan mangsa berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 200 peratus dalam tempoh singkat, menyebabkan mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azizee berkata, mangsa turut diminta memuat turun aplikasi DAC Pro bagi tujuan pendaftaran keahlian dan membuat pelaburan, serta telah melakukan 22 transaksi pembayaran berjumlah RM760,200 ke dalam enam akaun bank berbeza sejak 8 Oktober hingga 10 Disember 2025.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, mangsa dijanjikan keuntungan pelaburan sebanyak RM7,488,492, namun tidak pernah menerima sebarang laba atau pulangan sebenar.
“Apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan tersebut, dia diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak tiga peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran.
“Dalam tempoh 18 hingga 24 Disember 2025, mangsa sekali lagi membuat enam transaksi pindahan wang berjumlah RM242,200 ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek,” katanya, memaklumkan keseluruhan kerugian mangsa berjumlah RM1,002,400.
Beliau berkata, mangsa hanya sedar ditipu apabila masih gagal mengeluarkan keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan kononnya untuk percukaian.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan penipuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



