Pesara swasta dakwa tanah milik keluarga diceroboh kartel sampah haram

Pesara swasta dakwa tanah milik keluarga diceroboh kartel sampah haram

am@hmetro.com.my

Dengkil: Seorang warga emas meluahkan rasa tidak puas hati selepas mendakwa tanah milik keluarganya diceroboh dan dijadikan kawasan pembuangan sampah haram di Jalan Ampar Tenang, berdekatan taman perumahan Serenia, di sini.

Pesara syarikat swasta yang mahu dikenali sebagai Amirul, 61, dari Jenderam mendakwa lot tanah berkenaan adalah tanah milik arwah bapanya.

Namun, dakwanya, tanah itu dipercayai diceroboh oleh kartel pembuangan sampah haram sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, dia sudah laporan polis pada Oktober lalu dengan menyerahkan maklumat yang ada, namun dia dimaklumkan tindakan sukar diambil kerana lori berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Saya menyedari lot tanah itu digunakan sebagai tapak pelupusan sampah haram apabila dimaklumkan penduduk setempat mengenai aktiviti pembuangan sampah yang dilakukan pada waktu malam dan awal pagi.

“Sebagai usaha menghalang pencerobohan, saya menggali longkang supaya lori sampah haram tidak boleh masuk.

“Namun, kartel terbabit menimbus semula longkang itu dan menempatkan individu sebagai di tapak pembuangan itu, seolah-olah tanah itu milik mereka,” katanya ketika dihubungi.

Amirul berkata, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan tanah rosak dan tercemar, malah sebagai pemilik dia berasa teraniaya apabila pencerobohan berterusan walaupun laporan polis dibuat.

Menurutnya, beberapa bulan lalu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sepang sudah mengeluarkan notis amaran berlaku pembakaran sampah secara terbuka yang dilakukan pihak kartel.

Katanya, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi membanteras kegiatan kartel sampah haram terbabit sebelum sebarang tindakan di bawah undang-undang tanah dikenakan ke atas pemilik tanah sendiri.

“Jangan sampai pemilik tanah pula dikenakan tindakan sedangkan penyangak sampah haram ini dibiarkan bebas. Seolah-olah tiada undang-undang di Dengkil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon campur tangan segera pihak berkuasa seperti polis, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, JAS serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top