IPOH: Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun sehingga hamil sejak tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 45 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama dan ketiga, bapa kepada enam anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang payudara dan kemaluan mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik utama dan ruang tamu rumah di Taman Raia Damai, Batu Gajah pada pukul 2.30 petang, pertengahan Disember 2024 dan pukul 2.30 petang hingga 8.30 malam, Januari 2025.
Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama Seksyen 16(a) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat dan diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh antara setahun hingga tiga tahun sebagaimana di bawah Seksyen 295(1A) Kanun Prosedur Jenayah.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa di dalam bilik di rumah sama pada pukul 11.30 malam pada pertengahan bulan Disember 2024.
Pertuduhan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.
Terdahulu, Qurratu’aini mencadangkan jaminan RM30,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi selain melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Muhammad Farhan memohon jumlah jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan lelaki itu menerima pencen bulanan sebanyak RM1,800 dan perlu menanggung isteri serta enam anak yang masih bersekolah.
Menurut beliau, anak guamnya bersetuju dengan syarat tambahan yang dikenakan pihak pendakwaan dan berjanji akan tinggal berasingan dengan mangsa.
Hakim Jean Sharmila kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada awal bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos depan untuk serahan dokumen. – UTUSAN
Â