Pesawah Alor Pongsu resah padi diserang ulat gulung daun

Pesawah Alor Pongsu resah padi diserang ulat gulung daun

am@hmetro.com.my

Bagan Serai: Pesawah di daerah ini dihimpit resah apabila pokok padi mereka kini diserang ulat gulung daun yang menyebabkan tanaman berkenaan rosak dan terbantut.

Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali, Beriah, Alor Pongsu, Mohd Zaini Saarani berkata, lebih 100 pesawah di bawah unitnya bimbang padi mereka tidak berbuah biarpun usia tanaman sudah melebihi 70 hari dan hanya setinggi sejengkal sahaja.

“Jika diikutkan hari (ditanam), pokok padi sepatutnya sudah setinggi lebih satu meter dan bunga padi kini mula mengurai dan hanya menanti untuk proses padi keluar.

“Tapi kemungkinan padi kami tidak mengeluarkan buah kerana terbantut akibat tanah kering-kontang.

“Malah, kini hampir semua lot sawah di sini diserang pula penyakit ulat gulung daun yang menyebabkan daun pengasuh padi rosak,” katanya ditemui media di Parit Haji Ali, Alor Pongsu, di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat serangan penyakit itu, pesawah bimbang jentera menuai tidak mahu masuk ke sawah padi mereka kerana tiada hasil.

“Kalau tak ada padi, jentera menuai pasti tidak akan datang, kalau ada pun mesti harga yang dikenakan terlalu tinggi.

“Mahu tidak mahu, pesawah terpaksa membayar juga kos jentuai kerana jika padi tidak diambil ianya terus merugikan pesawah.

“Justeru, kami amat berharap pihak berkaitan dapat menyediakan jentera sekiranya jentuai tidak mahu datang,” katanya.

Mohd Zaini berkata, pihak berkaitan perlu menyelesaikan masalah air yang berlaku di kawasan ini kerana dia bimbang pesawah tidak lagi berminat untuk menanam padi.

Menurutnya, keadaan itu akan menjejaskan Kerian sebagai kawasan jelapang padi ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia.

“Ramai pesawah sudah tukar tanaman padi kepada tanaman lain seperti kelapa dan kelapa sawit. Sebelum keadaan lebih teruk, kerajaan perlu menyelesaikan isu air yang membelenggu kami.

“Projek pemindahan air dari Sungai Perak perlu dibuat dengan segera dan jangan ditangguhkan lagi, jika tidak kami yang menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dalam kenyataan melaporkan kawasan sawah padi seluas 907 hektar membabitkan kompartmen D, E, F, G dan H terjejas

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bermula awal Mei lalu sehingga kini, taburan hujan rendah menyebabkan Empangan Bukit Merah yang menjadi punca air utama tidak dapat menakung air ditambah pula dengan keadaan kemarau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top