Pesawah dicadang tanam padi guna kaedah tabur terus kering

Pesawah dicadang tanam padi guna kaedah tabur terus kering

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Pesawah yang bakal memulakan musim tanaman padi 1/2026 dicadangkan menggunakan kaedah tabur terus kering susulan penurunan paras takungan air di tiga empangan utama negeri.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh, berkata langkah itu terpaksa diambil di 100,641 hektar kawasan tanaman berikutan

kekurangan hujan di kawasan tadahan sejak kebelakangan ini.

Katanya, bagaimanapun sekiranya berlaku hujan lebat dalam tempoh terdekat dan paras takungan kembali stabil, pesawah dinasihatkan bersedia semula untuk menggunakan kaedah penanaman yang bersesuaian.

“Sehingga 2 April 2026 (hari ini), jumlah keseluruhan takungan air di tiga empangan utama berada pada tahap 39.42 peratus dengan Empangan Pedu (39.69 peratus), Empangan Ahning (53.97 peratus) dan Empangan Muda 11.52 peratus.

“Ketika ini, pelepasan air dari empangan masih dilakukan, namun secara terkawal pada kadar 700 cusec (Q) bagi memastikan bekalan air bagi kegunaan domestik dapat diurus secara optimum,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Ismail berkata, kaedah tabur terus kering

pernah dilakukan pada 1987, 1991, 1992 dan 1993 ketika Kedah berhadapan musim panas melampau, selain ia pernah dicadangkan dibuat pada 2017 dan 2020, namun tidak diteruskan kerana berlaku hujan.

Katanya, antara kesan penggunaan kaedah tabur terus kering adalah hasil padi dijangka merosot kepada purata empat tan per hektar berikutan padi akan tumbuh bersama benih padi lama dan rumpai yang ada di dalam tanah.

“Ketika ini, purata hujan di Kawasan Muda merekodkan hanya 56mm, jauh lebih rendah berbanding purata 20 tahun iaitu 225mm, menunjukkan penurunan sebanyak peratus.

“Walaupun Perlis dan Kedah dijangka menerima hujan antara 140mm hingga 240mm sepanjang April, situasi itu masih dianggap tidak menentu berikutan jumlah hujan yang rendah direkodkan di kawasan tadahan sawah, empangan dan sungai utama setakat ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, jadual tanaman padi akan bermula bagi Fasa Satu pada 15 April, Fasa Dua pada 29 April dan Fasa Tiga pada 13 Mei.

“Penggunaan kaedah tabur terus kering dilihat sebagai strategi terbaik bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air yang terhad serta memastikan jadual penanaman dapat diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air pengairan pada peringkat awal tanaman.

“Bagaimanapun, kaedah ini memerlukan pemantauan rapi oleh pesawah khususnya terhadap kawalan pertumbuhan rumpai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top