PeSAWAH gesa bantuan segera padi tenggelam

PeSAWAH gesa bantuan segera padi tenggelam

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Sekitar lima hingga 10 peratus kawasan tanaman padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terjejas dan ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, walaupun hampir 90 peratus kawasan tanaman sudah selesai dituai, baki kawasan yang masih menunggu masa tuaian serta kawasan yang baru memulakan proses menabur benih kini menanggung kerugian.

Katanya, pertembungan hujan lebat dan air pasang menyebabkan aliran air tersumbat dan gagal mengalir ke laut sehingga menenggelamkan sawah, khususnya di Wilayah Tiga MADA seperti di Pendang serta kawasan Fasa Satu di Yan.

“Apabila padi yang belum dituai ini terendam dalam tempoh dua hingga tiga hari, ia akan rosak dan menyebabkan kerugian besar kepada petani. Malah, ada kawasan seperti di Yan yang baru selesai proses menabur untuk musim baharu turut tenggelam.

“Walaupun air kini mulai surut, kesan kerosakan terhadap benih dan pokok padi yang ditenggelami air selama beberapa hari tetap ada dan menjejaskan tanaman,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, bencana itu turut memberi impak ketara terhadap hasil pengeluaran padi semasa yang dilihat merosot kepada bawah satu tan bagi setiap relung atau sekitar empat tan sehektar.

Katanya, situasi itu memberi tamparan hebat kepada pesawah yang kini buntu memikirkan pusingan modal untuk meneruskan tanaman bagi musim hadapan.

“Pesawah sangat terbeban kerana modal sudah hangus, malah mereka tetap perlu membayar kos sewaan jentera menuai dan traktor. Sekiranya padi rosak sepenuhnya, bebanan itu akan menjadi lebih berganda.

“Justeru, pihak kerajaan dan agensi berkaitan perlu cakna dan turun padang melihat situasi sebenar secara menyeluruh, bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga,” katanya.

Beliau berkata, penyaluran bantuan yang cepat dan tuntas amat dituntut bagi membolehkan golongan pesawah yang terjejas memulihkan semula operasi mereka, selain sebagai persediaan mendepani ketidaktentuan cuaca ekstrem pada masa akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top