Pesawah 'pening kepala' dengan ketiadaan air, ancaman MTL

Pesawah 'pening kepala' dengan ketiadaan air, ancaman MTL

am@hmetro.com.my

Bachok: Kira-kira 7,000 pesawah di negeri ini ‘pening kepala’ untuk meneruskan tanaman padi yang sepatutnya bermula pertengahan bulan ini.

Ini berikutan mereka masih berdepan ketiadaan sumber bekalan air selain bimbang ancaman Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda awal November ini.

Pengerusi Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan (PESAK), Zuha Ismail berkata, situasi itu menyebabkan hanya 30 peratus pesawah sudah membuat persediaan dan pesawah sepatutnya mula membajak, Ahad ini.

“Yang sedia nak tanam itupun yang mengharapkan air daripada sumber hujan dan sungai.

“Kalau ikutkan sehektar padi dapat keluarkan hasil empat ke lima tan per metrik tan, jadi kita anggar kalau tiada bantuan segera untuk kemudahan air kepada petani, banyak kawasan hasil padi akan terjejas,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Telaga, di sini.

Zuha berkata, sehingga kini dianggarkan lebih 26 hektar tanaman padi yang berdaftar di bawah PESAK.

Sementara itu, tinjauan di laman sesawang rasmi, MetMalaysia bagi ramalan hujan November depan di negeri ini dijangka menerima jumlah hujan meningkat antara 330 hingga 800 milimeter (mm) berbanding bulan ini sekitar 190 hingga 330 mm.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top