Jakarta: Seorang juruterbang maut selepas pesawat utiliti jenis Air Tractor AT-802 milik syarikat penerbangan Pelita Air Service terhempas di kawasan Long Bawan, Kalimantan Utara, Indonesia pada Khamis.
Ketua Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Tarakan, Syahril berkata pesawat satu tempat duduk itu dilapor baharu selesai menghantar bahan api ke Long Bawan dan dalam perjalanan pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juwata, Tarakan, sebelum menemui nahas kira-kira 12.25 tengah hari waktu tempatan.
“Berdasarkan maklumat awal, selepas berlepas, saksi melihat pesawat menurun dalam keadaan senget ke arah belakang bukit sebelum disahkan terhempas kira-kira lima kilometer dari hujung landasan 22 Lapangan Terbang Yuvai Semaring, Long Bawan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syahril berkata sejurus menerima laporan, pasukan SAR digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti dan menemui nahas pesawat, manakala juruterbang ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan dibawa ke hospital berhampiran untuk tindakan lanjut.
Syahril berkata siasatan lanjut berhubung punca nahas sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




