Pesawat kecil terhempas di bangunan tertinggi Beijing, juruterbang maut

Pesawat kecil terhempas di bangunan tertinggi Beijing, juruterbang maut

Beijing: Seorang juruterbang maut selepas pesawat kecil yang dipandunya terhempas ke bangunan tertinggi di Beijing, manakala 13 lagi dilaporkan cedera dalam kejadian pada Jumaat, lapor pihak berkuasa tanpa memperincikan punca kejadian.

Pihak berkuasa China pada Sabtu lalu memaklumkan, nahas di Daerah Chaoyang itu membabitkan pesawat ringan berenjin tunggal dan dua tempat duduk itu berlaku pada 5.55 petang.

Menurut kenyataan yang dikongsi menerusi WeChat, juruterbang adalah satu-satunya individu di dalam pesawat dan disahkan meninggal dunia, manakala 13 orang cedera di lokasi kejadian.

Pihak berkuasa memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Saksi melaporkan terdapat serpihan pesawat di bahagian bawah Menara China Zun (CITIC) setinggi 528 meter (m), manakala wartawan yang berada di lokasi melihat satu lubang pada tingkap di salah satu tingkat atas bangunan berkenaan.

Dalam pada itu, rakaman video seorang saksi dari bangunan berhampiran menunjukkan jentera bomba menyembur air ke arah api kecil di atas tanah selain bahagian pesawat yang dipercayai berada di sisi bangunan.

Polis dan ambulans memenuhi kawasan kejadian, manakala anggota polis menghalang orang ramai daripada mengambil gambar.

Sementara itu, seorang pelajar memberitahu AFP bahawa dia bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat mengenai nahas itu dalam kumpulan media sosial peminat penerbangan.

Difahamkan, Menara CITIC mempunyai 108 tingkat di atas tanah dan tujuh tingkat di bawah tanah, yang mampu menempatkan 12,000 pekerja pejabat.

Katanya, gambar dan hantaran mengenai kejadian itu di internet dipadam dengan pantas.

China mengenakan sekatan ketat terhadap ruang udaranya, khususnya di sekitar kawasan bandar Beijing, atas alasan keselamatan awam.

Walaupun punca nahas itu masih belum jelas, tindakan menyekat penyebaran gambar dan maklumat berkaitan kejadian berkenaan mungkin menunjukkan usaha untuk memperkecilkan sebarang kemungkinan berlakunya kelemahan aspek keselamatan.

Kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa pada Sabtu itu pula hampir tidak mendapat liputan daripada mana-mana saluran media di China.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top